Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang berdepan sebarang isu berkaitan peperiksaan dinasihatkan untuk segera menghubungi bilik gerakan Lembaga Peperiksaan (LP) atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) di seluruh negara.
Menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersedia membantu pada bila-bila masa bagi memastikan semua 402,956 calon SPM tahun ini dapat menduduki peperiksaan tanpa halangan.
“Kami bersedia untuk menghadapi apa-apa situasi yang mungkin berbangkit dan bersedia membantu calon-calon yang terlibat dengan mana-mana isu,” katanya selepas meninjau perjalanan peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Pasir Puteh.
Tambah Wong, calon yang berdepan bencana seperti banjir atau masalah lain juga boleh mendapatkan bantuan segera dengan menghubungi talian bilik gerakan.
“Jika ada apa-apa isu berkaitan peperiksaan, boleh hubungi talian bilik gerakan supaya kita boleh membantu daripada semasa ke semasa,” tegasnya.
Bagi calon di kawasan yang terjejas banjir, KPM akan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) dalam Operasi Payung bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar.
Inisiatif ini diharapkan dapat memberikan ketenangan kepada para pelajar dalam menghadapi peperiksaan penting mereka. – JURNAL
Sumber: Kosmo!