Seramai 100 usahawan mikro telah dianugerahkan sijil Micro Connector 2.0 oleh SME Corporation Malaysia selepas tamat program bersama KRU MasterClass, Social Commerce, baru-baru ini.
Majlis penyampaian sijil kepada semua peserta telah berlangsung di Dewan Seri Melati, Kompleks Perbadanan Putrajaya.
Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation Malaysia, Rizal Nainy berkata, program tersebut merupakan inisiatif berterusan kerajaan menerusi SME Corporation Malaysia bagi membantu perusahaan mikro untuk memperoleh kemahiran baharu agar terus berdaya saing.
“Diharap 100 usahawan mikro yang menyertai program ini mendapat manfaat sepenuhnya dan memperoleh kemahiran baharu agar terus berdaya saing dan mampu meningkatkan pendapatan menerusi aktiviti keusahawanan.
“Program Social Commerce yang dilaksanakan ini adalah bertepatan dengan trend dalam dunia perniagaan sekarang kerana ia mampu mengubah untung nasib bagi sesebuah perniagaan, terutamanya dalam menghadapi persaingan yang hebat dari dalam dan luar negara,” katanya.
Tambah beliau lagi, SME Corporation Malaysia menyediakan pembiayaan berjumlah 80% kepada perusahaan mikro menerusi mekanisma pelaksanaan Program Micro Connector 2.0 untuk melatih perusahaan mikro yang layak menyertai program Social Commerce Micro Connector 2.0.
Justeru, KRU MasterClass telah dilantik oleh SME Corp Malaysia selaku Rakan Pelaksana program MasterClass Social Commerce Micro Connector 2.0 untuk membantu usahawan mikro mempelajari kemahiran asas seperti mencari pelanggan baharu dalam talian, mengkonseptualisasikan idea perniagaan baharu dan menambah baik idea sedia ada berdasarkan perkembangan semasa.
Latihan yang dijalankan pula adalah gabungan teknik pembelajaran secara dalam talian dan fizikal (hibrid) selama 20 hari.
Selain daripada tenaga pengajar yang berpengalaman, KRU MasterClass berkolaborasi dengan golongan profesional industri untuk memastikan hasil pembelajaran terus relevan dengan permintaan pasaran.
Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat KRU, Datuk Norman Abdul Halim berkata, sebanyak 60% peserta yang menyertai program latihan ini terdiri daripada syarikat milikan wanita.
Jumlah tersebut juga melebihi sasaran 30% yang ditetapkan oleh SME Corporation Malaysia.
“Para peserta akan menerima sesi bimbingan dan pemantauan selama enam bulan selepas tamat latihan, sebagai nilai tambah program.
“Di kesempatan kni saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakan strategik kami, iaitu Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), UDA Holdings Berhad dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) atas kerjasama dan sokongan untuk menjayakan program ini termasuk Perbadanan Putrajaya yang turut menaja 20% yuran penyertaan,” katanya.
Tambah Norman, kewujudan e-marketplace telah meningkatkan persaingan secara global, oleh yang demikian perusahaan mikro harus menggunakan strategi pemasaran digital untuk bersaing dan kekal relevan di pasaran.
Taktik pemasaran digital yang menarik dan kreatif telah terbukti sebagai kaedah yang sangat efektif untuk menarik minat pelanggan sehinggakan sesetengah perniagaan sanggup membuat pelaburan yang besar untuk mempromosikan perniagaan mereka secara dalam talian.
Dalam perkembangan lain, Rizal Nainy turut memaklumkan kerajaan telah melancarkan Program Pengukuhan Mikro Madani dengan dana berjumlah RM100 juta pada 20 September lalu.
Program Mikro Madani menyediakan bantuan kewangan kepada perusahaan mikro menerusi lima inisiatif utama dalam bentuk geran, pembiayaan dan baucar untuk pendaftaran Status Perusahaan Mikro Kecil Sederhana (PMKS).
Maklumat lanjut boleh diperolehi menerusi laman sesawang www.smecorp.gov.my.
Dalam majlis baru-baru ini, turut hadir ialah, Timbalan Ketua Eksekutif SME Corp. Malaysia Mohd Rithaudden Makip, Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komuniti dan Sukan, Jabatan Perkhidmatan Bandar Perbadanan Putrajaya, Mohd Ali Jusoh, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif KRU MasterClass, Noor Hafeez Noor Hashim serta para pegawai pengurusan SME Corporation Malaysia, Perbadanan Putrajaya & KRU MasterClass. – JURNAL