Pihak-pihak terbabit dalam kes saman Datuk SM Faisal SM Nasimuddin Kamal terhadap penyanyi rap, Caprice sedang berusaha menyelesaikan kes itu secara baik sebelum perbicaraan bermula pada 4 Oktober 2023 di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur.
Faisal menyaman Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli selaku defendan pada 15 Ogos lalu berhubung dakwaan memuat naik hantaran berunsur fitnah di Instagram milik pempengaruh berkenaan kerana mengaitkan ahli perniagaan itu dengan kes bekas isterinya, Emilia Hanafi.
BACA: Adik Sahkan Emilia Hanafi Didera SM Faisal, Kena Lempar Pinggan Dan Dihentak Di Lantai
Berdasarkan pernyataan tuntutan, Faisal selaku plaintif berkata pada 27 Jun lepas, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur memerintahkan Emilia menjalani hukuman penjara selama tujuh hari selepas didapati gagal mematuhi perintah pengkomitan mahkamah.
Faisal mendakwa, Caprice pada 28 Jun telah memburukkan plaintif atau Mahkamah Syariah dengan memuat naik hantaran video mendakwa pewaris syarikat NAZA itu adalah seorang lelaki kejam dan semberono kerana memenjarakan bekas isterinya, selain tidak bertimbang rasa serta agresif terhadap wanita atau kanak-kanak.
Plaintif memohon ganti rugi am, punitif, teladan, teruk dan kos, selain perintah injunksi supaya defendan mengeluarkan dan memadamkan hantaran fitnah itu.
Sementara itu, peguam Puteri Ummi Kartini Abd Latiff yang mewakili SM Faisal berkata, jika tiada penyelesaian, mahkamah menetapkan 4 hingga 6 Oktober tahun hadapan untuk mendengar kes berkenaan.
“Pengurusan kes ditetapkan pada 3 Julai 2023 untuk arahan lanjut perbicaraan,” katanya.
Peguam itu dihubungi selepas pengurusan kes secara atas talian di hadapan Hakim Azian Othman yang turut disertai peguam Harjoth Singh, mewakili Caprice. – JURNAL