Skuad kebangsaan memiliki sesuatu yang boleh dibanggakan sekalipun kandas di peringkat kumpulan selepas jaringan pemain sayap Harimau Malaya, Faisal Halim diangkat sebagai Jaringan Terbaik Piala Asia 2023.
Jaringan itu jelas menjadi pilihan penyokong di laman media sosial apabila mendapat 85 peratus undian dan kemenangan itu sememangnya sudah dijangka memandangkan jaringan itu mendahului undian sejak awal ia dibuka.
Peratusan itu jauh meninggalkan pencabar terdekat, Mousa Al Tamari dari Jordan yang sekadar menerima sembilan peratus undian sementara tempat ketiga menjadi milik pemain Korea Selatan, Son Heung Min dengan tiga peratus.
Menariknya, ketiga-tiga jaringan terbaik yang menjadi pilihan penyokong itu hadir daripada pasukan yang berentap dalam kumpulan sama – Kumpulan E.
Selain Faisal, Al Tamari dan Heung Min, lima lagi pemain turut tercalon untuk anugerah terbabit – Keito Nakamura (Jepun), Abdulrahman Ghareeb (Arab Saudi), Hassan Al Haydos (Qatar), Supachok Sarachat (Thailand) dan Sardar Azmoun (Iran).
Sebagai rekod, pemain berusia 26 tahun itu meledak jaringan menarik selepas berjaya memperdaya pemain Korea Selatan yang dilabel antara pertahanan tengah terbaik dunia yang juga pertahanan terbaik Serie A 2022/23, Kim Min Jae di Stadium Al Janoub, 25 Januari lalu.
Dia yang lebih dikenali sebagai Mickey menyambar bola sebelum memperdaya pertahanan Bayern Munich itu dan juga penjaga gol Korea Selatan, Jo Hyeon Woo yang ‘terduduk’ sebelum meledak gol pertama Malaysia. – JURNAL
Sumber: BERITA HARIAN