Pelaksanaan Skim Perubatan MADANI yang diperhalusi dan ditambah baik akan tertumpu kepada 10 daerah dan penerima tertentu bagi meningkatkan keberkesanan, kemampanan dan memaksimumkan impak skim ini.
ProtectHealth Corporation (ProtectHealth) berkata berkuat kuasa semalam 10 daerah fokus adalah Kuala Lumpur; Gombak, Hulu Langat, Petaling Jaya, Klang (Selangor); Johor Bahru (Johor), Kinta (Perak); Timur Laut (Pulau Pinang); Kota Kinabalu (Sabah), dan Kuching (Sarawak).
“Selain daripada itu, kelayakan penerima Skim Perubatan MADANI akan memberi fokus kepada isi rumah berdaftar di 10 daerah berkenaan dan pesakit yang pernah menerima rawatan boleh memanfaatkannya hingga peruntukan skim ini digunakan sepenuhnya.
“Klinik swasta Skim Perubatan MADANI yang aktif di dalam daerah yang ditetapkan boleh terus menyediakan perkhidmatan Skim Perubatan MADANI,” kata ProtectHealth dalam kenyataan.
Bagi memastikan perubahan itu berjalan lancar kepada pesakit yang menerima rawatan dan klinik swasta Skim Perubatan MADANI yang beroperasi di luar daerah yang ditetapkan, klinik-klinik berkenaan akan mempunyai masa hingga Khamis ini, untuk mengemukakan tuntutan tertunggak bagi pesakit yang dirawat.
“ProtectHealth sudah menghantar makluman kepada semua klinik swasta Skim Perubatan MADANI yang terbabit,” katanya.
Perincian ini penting bagi keberkesanan pelaksanaan Skim Perubatan MADANI dalam mencapai objektif utama skim ini.
“Dengan memfokuskan sumber pada kawasan dan penerima tertentu, ProtectHealth komited untuk meningkatkan akses dan kualiti penjagaan kesihatan bagi mereka yang memerlukannya,” katanya.
Skim Perubatan MADANI yang dilancarkan sebagai program perintis sejak 15 Jun lalu bertujuan mengurangkan kesesakan pesakit di Jabatan Pesakit Luar dan Klinik Kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM) di kawasan bandar pada masa ini.
“Bagaimanapun ia masih lagi dalam fasa penambahbaikan penyampaian dan pelaksanaan skim berkenaan.
“Berdasarkan pemerhatian, kesesakan di fasiliti KKM di bawah fasa perintis Skim Perubatan MADANI adalah bertambah baik,” katanya. – JURNAL
Sumber: BERITA HARIAN