Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) terus menjadi platform penting dalam memberi jaminan perlindungan kepada golongan wanita, terutamanya suri rumah. Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Nibong Tebal, Fadhlina Sidek, menzahirkan komitmennya dengan menaja skim ini untuk kira-kira 100 wanita setiap tahun.
“Tahun ini saya mulakan sokongan saya kepada 50 suri rumah sebagai tanda penghormatan dan kasih sayang kepada mereka. Ibu-ibu ini sentiasa berkhidmat untuk keluarga tanpa mengenal penat lelah demi kebahagiaan keluarga,” ujar beliau dalam satu hantaran di Facebook.
Fadhlina juga menjelaskan bahawa caruman SKSSR adalah rendah, iaitu hanya sekitar RM120 setahun, tetapi manfaatnya sangat besar sebagai perlindungan untuk wanita yang bertugas sebagai suri rumah. Beliau menegaskan komitmennya untuk terus menyokong dan menaja skim ini dari semasa ke semasa.
Sejak diperkenalkan, pendaftaran caruman SKSSR telah mencecah 474,982 individu pada Oktober tahun lalu, menurut Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong. Statistik ini menunjukkan penerimaan yang baik terhadap program ini.
“Mesej penting yang harus sampai kepada kaum wanita adalah kepentingan skim ini untuk melindungi mereka. Sayang isteri tinggal-tinggalkan, sayang anak tangan-tangankan, sayang wanita carum-carumkan,” tambah Fadhlina.
Inisiatif ini menyerlahkan komitmen kerajaan dan pemimpin wanita dalam memastikan keselamatan sosial suri rumah terus terpelihara. – JURNAL