Polis mengesahkan bahawa kejadian anggota polis berpangkat Sarjan yang ditemukan maut dengan tiga kesan tembakan di Balai Polis Bayan Lepas di sini, 19 Februari lalu, sebagai mati mengejut (SDR).
Ketua Polis Negeri Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, siasatan mengenai kejadian itu sudah selesai dan tiada unsur jenayah.
“Siasatan sudah selesai yang mana kesan bedah siasat serta lawatan (ahli) patalogi ke tempat kejadian konsisten dengan dapatan pertama bahawa ia adalah tindakan bunuh diri.
“Jadi, tiada lagi spekulasi (yang mengaitkan) dengan elemen jenayah dan sampai di sini saja siasatan, kita hanya akan hantar inkues saja selepas itu, ” katanya ketika ditemui di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini, hari ini.
Terdahulu Harian Metro melaporkan mengenai mendiang Sarjan Jana Milie, 51, yang ditemukan meninggal dunia di belakang balai berkenaan dengan kesan tembakan pada dada, leher dan kepala.
Dalam kejadian pada jam 3.30 petang itu, sepucuk pistol turut ditemukan bersama mangsa.
Mengulas lanjut Mohd Shuhaily berkata, menerusi siasatan itu, hanya seorang individu memberi keterangan.
“Tiada yang melihat kejadian itu, hanya orang pertama yang tiba di tempat berkenaan diambil keterangan.
“Mendiang tidak mempunyai masalah dalam pekerjaan dan dikenali sebagai seorang yang mudah bekerjasama,” katanya. – JURNAL
Sumber: Harian Metro