Sesi persekolahan 2024/2025 akan bermula pada Mac 2024 manakala sesi 2025 pada Februari 2025, demikian menurut Kementerian Pendidikan (KPM).
KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, ia adalah untuk mengembalikan sesi persekolahan 2026 kepada Januari seperti sebelum ini.
Sehubungan itu, KPM berkata, penjajaran kepada jadual peperiksaan awam akan dilakukan agar selari dengan perubahan kalendar akademik persekolahan yang akan dilaksanakan.
“Penelitian untuk kembalikan sesi persekolahan kepada Januari melihat kepada kesesuaian penyediaan kalendar akademik untuk tahun seterusnya bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan secara optimum,” katanya.
KPM berkata pertimbangan itu adalah berdasarkan Peraturan-Peraturan Pendidikan (Penggal, Hari dan Cuti Sekolah) 1998 yang menetapkan bahawa jumlah hari persekolahan dalam kalendar akademik hendaklah tidak kurang daripada 190 hari.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan Dewan Rakyat semalam bahawa sesi persekolahan akan kembali dimulakan pada Januari 2026. – JURNAL
Sumber: BERNAMA