Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua pimpinan kerajaan untuk mengikuti latihan dan kursus peringatan bagi menggilap semula semangat serta ilmu masing-masing.
Perdana Menteri berkata, semua pimpinan termasuk dirinya sendiri perlu mengikuti latihan terbabit supaya dapat menerapkan semula semangat kewibawaan, keterampilan dan tekad.
“Saya tegaskan tidak untung, tidak menang kita dengan sorakan dan maki hamun orang lain melainkan jika hanya dengan kewibawaan kita, keterampilan kita, dan tekad kita.
“Jadi saudara, seperti mana madrasah Ramadan ini, saya ingin menganjurkan selain tanggungjawab jaga kampung sendiri itu, kita juga tanpa kecuali, saya sendiri, menteri, KSN (Ketua Setiausaha Negara), KPPA (Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam) untuk mengikuti satu bentuk latihan, kursus peringatan bagi menggilap semangat dan ilmu mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada program Bicara Eksekutif Malaysia Penjawat Awam Tahun 2024 di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Aaron Ago Dagang; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, kursus dan latihan itu perlu membabitkan semua peringkat pimpinan termasuk Ketua Polis Negara.
“(Dengan menyertai latihan) akan ada kesedaran dan kesatuan pemikiran, maka kita anjurkan (latihan ini),” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri mahu semua menteri, Ahli Parlimen, ketua jabatan dan pegawai kanan kerajaan bertanggungjawab menjaga kampung asal masing-masing dan mengambil tahu setiap permasalahan di kawasan berkenaan.
Katanya, beliau sendiri akan memulakan usaha terbabit di kampung asalnya di Cheruk Tok Kun, Pulau Pinang sebagai sebahagian daripada tekad Ramadan.
“Semalam dalam mesyuarat penyelarasan pelaksanaan (ICU), ada KSN (Ketua Setiausaha Negara), ada cadangan apa kata kalau semua menteri, semua Ahli Parlimen, ketua jabatan, pegawai kanan, semua syarikat, masing-masing jaga kampung asal mereka.
“Jadi seperti biasa saya umum, nanti KSN cerakin dan KPPA (Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam) akan buat siaran (pengumuman),” katanya.
Anwar berkata, setiap individu mempunyai tanggungjawab kepada diri dan keluarga dan secara tidak langsung memanfaatkan Ramadan ini dengan meningkatkan keimanan, kebaikan akhlak, integriti dan keprihatinan kepada nasib masyarkat yang miskin.
“Cuba bayangkan bagi kita yang mempunyai keupayaan, syarikat pembesar, orang-orang kaya, kalau semua orang kaya menjalankan tugas dengan baik, saya fikir tidak akan ada orang terlantar.
“Kalau semua jaga kampung asalnya dan ambil tanggungjawab serta menganggap kampung sebagai kampung keluarga dia, saya rasa setengah daripada masalah boleh selesai,” katanya. – JURNAL
Sumber: BERITA HARIAN