Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) berkaitan bagi menjalankan siasatan dan tindakan berhubung ajaran Millah Abraham.
Tindakan tersebut selepas tular paparan video seorang pelakon lelaki yang meminta Jabatan Agama Islam untuk menyiasat ajaran Millah Abraham.
Jakim mengambil maklum perkara tersebut dan menasihatkan masyarakat Islam agar menjauhi ajaran Millah Abraham dan dilarang berpegang serta beramal dengannya.
Menerusi kenyataan kepada Sinar Harian, Jakim berkata, ajaran Millah Abraham telah difatwakan sebagai menyeleweng dan bertentangan oleh Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (Muzakarah MKI) Kali Ke-109 pada 2016.
Sebelum ini, seorang pelakon membuat pengakuan berani apabila mendedahkan dia merupakan salah seorang pengikut ajaran Millah Abraham.
Malah, pelakon lelaki tersebut meminta orang ramai melaporkannya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan JAIN. – JURNAL
Sumber: Sinar Harian