Seorang pegawai kanan Hamas, menjemput bilionair Amerika Syarikat (AS), Elon Musk untuk melawat Semenanjung Gaza di Palestin bagi melihat tahap kemusnahan akibat pengeboman Israel.
“Kami menjemput beliau melawat Gaza untuk melihat sejauh mana pembunuhan beramai-ramai dan kemusnahan yang dilakukan terhadap penduduk Gaza, dengan mematuhi standard objektiviti dan kredibiliti,” kata pegawai kanan Hamas, Osama Hamdan pada sidang akhbar di Beirut pada Selasa.
Pada Isnin, Musk, mogul media sosial yang dikecam kerana menyokong mesej anti Yahudi melawat tapak serangan Hamas ke atas Israel dan mengisytiharkan komitmennya untuk melakukan apa saja yang perlu untuk menghentikan penyebaran kebencian.
Musk memiliki platform media sosial X.
Kenyataan Osama dibuat sehari selepas gencatan senjata sementara antara Israel dan Hamas dilanjutkan lagi selama tempoh 48 jam.
“Dalam tempoh 50 hari, Israel menjatuhkan lebih 40,000 tan bahan letupan ke atas rumah penduduk Gaza yang tidak berdaya.
“Saya menyeru Presiden AS, (Joe) Biden untuk mengkaji semula hubungan AS dengan Israel dan berhenti membekalkan mereka dengan senjata,” katanya.
Bercakap mengenai kemusnahan Gaza akibat serangan Israel sejak konflik bermula pada 7 Oktober lalu, Osama meminta masyarakat antarabangsa segera menghantar pasukan pertahanan awam, khusus untuk membantu mengeluarkan mayat yang masih terperangkap di bawah runtuhan.
Kementerian Luar Palestin berkata, ribuan lagi masih terperangkap. – JURNAL
Sumber: UTUSAN