Selepas melancarkan restoran jenama popular K-Town Korean BBQ Grill House tahun lalu, AlphaCapital (M) Berhad melancarkan rangkaian perniagaan F&B baharu, ‘Daigor’.
‘Daigor’ merupakan restoran Hong Kong Muslim pertama di Malaysia yang membawakan sajian halal daripada negara ‘Mutiara Timur’ tersebut.
Antara menu yang menjadi pilihan utama di ‘Daigor’ ialah itik panggang, Cheese Baked Rice dan pelbagai jenis daging, makanan laut, charcoal custard lava bun dan juga air kopi.
Terdahulu, ‘Daigor’ merupakan rangkaian perniagaan F&B baharu di bawah jenama K-Town Alpha iaitu syarikat subsidiari Alphacapital yang memiliki variasi cabang perniagaan.
Kesukaran food hunter mendapatkan hidangan popular Hong Kong yang halal seperti itik dan ayam panggang membuka ruang dan peluang Daigor Hong Kong Muslim Restaurant meneroka pasaran halal bagi menyajikan menu dari ‘Mutiara Timur’ itu.
Ulas pengasas ‘Daigor’, Andy Goh, ramuan dan cara penyediaan makanan mengikut standard halal yang ditetapkan.
Malah proses penyelidikan dan pembangunan juga dilakukan lebih daripada tujuh bulan bagi mendapatkan rasa yang paling hampir dengan hidangan asal.
“Salah satu faktor yang sangat kami titikberatkan dalam ‘Daigor’ ialah ramuan yang digunakan mestilah mempunyai pengiktirafan sijil Halal.
“Pengalaman menjelajah pelbagai negara dan berpeluang merasai pelbagai jenis menu sesebuah negara membuatkan saya terfikir apa yang boleh dibawa balik ke kampung (Kuala Lumpur) saya.
“Sebelum ini kita bermula dengan K-Town dan saya terfikir di Malaysia tiada lagi restoran stail Hong Kong yang halal. Apa yang banyak ialah restoran muslim China, namun makanan halal Hong Kong tiada lagi.
“Kami mempunyai central kitchen yang akan memastikan semua makanan yang disediakan halal dan memenuhi standard halal yang ditetapkan,” ulasnya yang turut menyatakan ‘Daigor’ merupakan sebuah syarikat berstatus pemilikan Bumiputera.
Memilih itik panggang antara signature dish istimewa Daigor, jelas Andy, hidangan ini menjanjikan pengalaman gastronomi yang cukup menyelerakan.
“Menu signature kami ialah itik panggang. Memang ia banyak dijual namun sukar nak dapatkan yang halal.
“Dan kami lakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) selama hampir tujuh bulan untuk mendapatkan rasa yang paling dekat dengan apa yang dijual di Hong Kong,” kata Andy Goh.
Jelas dengan pemilihan kata Daigor sebagai jenama restoran, kata Andy, dia mahu menjadi satu-satunya restoran halal Hong Kong yang bertapak di Malaysia.
“Daigor selalunya bermaksud ‘big brother’ namun ia ada makna lain iaitu ‘one and only‘ dan saya kaitkan dengan restoran ini kerana kami mahu menjadi yang pertama dan kembangkan lagi perniagaan Daigor di Malaysia,” katanya.
Andy Goh, yang berpengalaman selama 7 tahun dalam Singapore Airlines, pernah terbang ke pelbagai tempat sebelum ini dan merasai juadah tempatan dan kemudian menyesuaikannya mengikut cita rasa pengguna Malaysia.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AlphaCapital Syed Mahadzir Fadaak berkata, perancangan untuk membina jenama ‘Daigor’ sudah bermula sejak tahun lalu.
Kata Mahadzir lagi, pelancaran ‘Daigor’ adalah antara usaha untuk memperluas dan mengembangkan lagi rangkaian perniagaan F&B AlphaCapital.
“AlphaCapital komited dalam perniagaan rangkaian makanan ini dan pelbagai perancangan telah disusun.
“Kami juga telah melabur RM15 juta dalam tempoh 5 tahun ini termasuk pembukaan K-Town Korean BBQ Grill House pada tahun lalu dan K-Town telah menunjukkan perkembangan yang positif setakat ini.
“AlphaCapital juga akan mempelbagaikan portfolio pelaburan kumpulan, dan komited untuk membawa pulangan pelaburan yang lumayan kepada pelabur-pelabur kami.
“Sebab itulah, kami bawa ‘Daigor’ yang membawa hidangan dari Hong Kong pula dan kalau boleh mahu mempelbagaikan lagi menu halal lain dari pelbagai benua,” katanya.
Dalam perkembangan lain, ‘Daigor’ turut menaja makan malam sempena Meet & Greet bintang berbakat besar Indonesia, Andmesh Kamaleng bersama peminat baru-baru ini. – JURNAL