Penganjur program aktiviti hiburan ‘Thai Hot Guy’ bagi majlis pembukaan sebuah bar di ibu kota dan turut dikaitkan dengan aktiviti Lesbian, Gay, Bioseksual, Transgender (LGBT) akan membatalkan program yang dijadualkan berlangsung pada 30 Mac ini.
Keputusan itu dibuat susulan pelbagai kecaman dan reaksi yang diterima daripada seluruh lapisan masyarakat di negara ini.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah, berkata keputusan membatalkan program itu dicapai dalam pertemuan antara penganjur dan pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, petang tadi.
“Promosi berkaitan program hiburan ini menimbulkan reaksi yang tidak menyenangkan serta kecaman daripada pelbagai pihak dan semakan sehingga jam 4 petang tadi mendapati sebanyak 60 laporan polis diterima bagi membantah penganjuran program berkenaan.
“Pihak polis peka mengenai penganjuran program-program yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam dan keselamatan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ashari berkata, kecaman itu pihaknya memberikan amaran keras kepada penganjur supaya program tersebut tidak diteruskan dan dibatalkan.
“Pihak penganjur dan pengurusan akur untuk membatalkan program berkenaan dan tiada sebarang aktiviti yang tular sebelum ini akan diadakan.
“Pihak polis akan membuat pemantauan berterusan ke atas premis berkenaan dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya berlaku sebarang pelanggaran undang-undang,” katanya.
Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak menjalankan apa-apa aktiviti yang melanggar undang-undang sehingga menggugat ketenteraman awam.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian jenayah boleh menyalurkannya ke IPD Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Polis KL ditalian 03-21159999. – JURNAL