Bekas penyerang berbisa kebangsaan, Safee Sali mengumumkan persaraan sebagai pemain bola sepak profesional selepas hampir 20 tahun berada dalam arena itu.
Safee, 39, menjelaskan bahawa ketika ini adalah masa terbaik untuk dia bersara apabila menganggap tidak mampu lagi untuk bersaing dengan pemain lain terutama di bahagian serangan.
Dia yang kelihatan sebak ketika mengumumkan persaraannya bagaimanapun tetap akan berada dalam industri bola sepak dengan merancang menubuhkan akademi dan padang bola sepak sendiri.
Malah, dia turut berterima kasih kepada semua bekas pasukan yang memberi ruang buatnya berkhidmat termasuk Kuala Lumpur (KL) City, Selangor, PKNS, PJ City, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Pelita Jaya (Indonesia).
“Saya tak akan tinggalkan terus bola sepak, saya akan bagi input yang saya belajar dan pengalaman untuk dikongsikan bersama masyarakat.
“Saya akan terus bersama majukan bola sepak tanah air dan kasih sayang serta minat saya kepada bola sepak tak akan hilang.
“Memang sangat emosi selepas hampir 20 tahun bermain dalam bola sepak, suka duka dan jatuh bangun dalam bola sepak sejak umur saya 19 tahun,” kata Safee pada sidang media, di sini, hari ini.
Untuk rekod, Safee meledak lebih 136 gol bersama kelab dan mengumpul 47 jaringan buat pasukan kebangsaan, Harimau Malaya.
Safee membantu Harimau Malaya memenangi kejuaraan tunggal di Piala AFF pada tahun 2010 dengan dia turut dinobatkan sebagai penjaring terbanyak pada edisi itu selepas meledak lima gol.
Selain itu, Safee turut berharap pemain yang akan mewakili Malaysia selepas ini dapat meningkatkan ranking Harimau Malaya bagi membolehkan lebih ramai pemain tempatan beraksi di liga luar negara terutama di Eropah.
“Selama mewakili Harimau Malaya, saya sudah buat sehabis baik untuk naikkan ranking Malaysia di peringkat tertinggi.
“Saya harap siapa yang akan bermain selepas ini cuba naikkan ranking kerana saya pernah melalui ujian di Cardiff City, jurulatih mahukan saya tapi disebabkan ranking, tidak dapat teruskan perjalanan saya dekat Eropah,” katanya. – JURNAL
Sumber: BHOnline