Tidak dinafikan pesona dan populariti dimiliki primadona Malaysia, Erra Fazira membuatkan dirinya diburu pelbagai jenama produk dan perkhidmatan.
Terkini, artis berusia 49 tahun itu disunting pula oleh pengeluar makanan ringan berasaskan jeli, Happy Alliance menerusi jenama Captain Dolphin sebagai duta dan wajah produk mereka berkuat kuasa 9 Januari lalu.
Teruja dengan ikatan kontrak selama dua tahun, Erra berkata, pemilihannya mewakili jenama snek kegilaan kanak-kanak dan remaja itu merupakan satu penghormatan buatnya.
“Saya tidak sangka selepas tiga dekad menceburi bidang seni, nama dan diri saya masih mendapat kepercayaan dan perhatian daripada pelbagai pihak termasuklah pengeluar produk dan pengiklan,” ujar Erra yang terharu atas kerjasama dijalinkannya itu.
Sementara itu, Pengarah Urusan Happy Alliance, Tan Seng Chon secara spontan mengakui bahawa beliau memilik Erra kerana kecantikkan aktres Sembilu tersebut.
“Saya pilih sebab dia cantiklah…” selorohnya menjawab soalan diajukan wartawan sewaktu hadir pada majlis pengumuman duta jenama produknya di ibu kota baru-baru ini.
Tambah beliau, pemilihan Erra sebenarnya dinilai berpaksikan nama dan aura selebriti itu sebagai seorang bintang terkenal tanah air yang disegani sehingga kini biarpun sudah lama berada dalam industri.
“Sudah tentu kami berbesar hati kerana Erra sudi bersama keluarga Captain Dolphin. Saya sangat yakin kerjasama ini akan melonjakkan lagi jenama, populariti dan jualan kami di pasaran.
“Saya juga rasakan apabila Erra jadi wajah Captain Dolphin, ia akan memberikan impak, perhatian dan kesedaran yang lebih meluas, sekali gus umum mengenali produk keluaran kami,” katanya.
Mengenai Happy Alliance Sdn Bhd, syarikat FMCG yang diusahakan oleh Seng Chon dan isterinya ditubuhkan pada 1996 dan sudah lebih 25 tahun beroperasi.
Captain Dolphin adalah sebuah jenama di bawah syarikat Happy Alliance (M) Sdn. Bhd dengan kepakaran utama dalam penghasilan produk Nata De Coco. – JURNAL