Golongan scammer menjadikan kumpulan atau ‘grup’ sembang Telegram sebagai medium untuk menjerat mangsa, dengan mendedahkan testimoni pelabur yang kononnya sudah meraih untung sebagai umpan.
Penolong Pengarah (Siasatan Jenayah Pelaburan Bersindiket/Kad Elektronik/Lain-Lain Jenayah) di Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Koh Seok Keng, berkata mereka yang berinteraksi dalam kumpulan itu juga sebenarnya sebahagian sindiket penipuan pelaburan yang bertujuan menarik mangsa dalam ‘grup’ terbabit untuk melabur.
Memberi contoh, katanya, mangsa dimasukkan dalam kumpulan itu dengan beberapa ahli akitif bersembang sama sendiri menceritakan mengenai pelaburan dan keuntungan, sedangkan mereka itu bukanlah pelabur tetapi sebenarnya ‘scammer’ yang cuba menipu.
“Mereka cuba memperlihatkan situasi seperti keadaan anda, menjadi seperti salah seorang anda yang melabur dan mendapat keuntungan besar.
“Oleh itu, jika dimasukkan dalam ‘grup’ Telegram ini, segeralah untuk keluar,” katanya ketika Program #JanganKenaScam bersama media tempatan, di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengerusi Pasukan Petugas Khas Membanteras Penipuan Kewangan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, Datuk John Chong serta Ahli Suruhanjaya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Derek John Fernandez
Seok Keng mendedahkan, mereka berusia antara 31 hingga 40 tahun paling ramai terjerat skim pelaburan tidak wujud pada tahun lalu dengan 1,359 mangsa membabitkan kerugian RM69.2 juta.
Bagaimanapun, PDRM merekodkan kerugian besar dalam kalangan mangsa berusia 51 hingga 60 tahun dengan nilai RM141.8 juta.
Pada tahun lalu, kumpulan termuda iaitu dalam kalangan usia 15 hingga 20 tahun turut menjadi mangsa sindiket dengan kerugian RM3.3 juta, diikuti kumpulan usia 21 hingga 30 tahun seramai 996 orang (RM32.5 juta), 1,138 mangsa daripada kumpulan usia 41-50 (RM88 juta) dan 737 orang bagi kategori lebih 61 tahun (RM135.5 juta). – JURNAL
Sumber: BERITA HARIAN