“Ya! Saya sudah terima surat saman dari Lim Kit Siang,” kata Tan Sri Annuar Musa susulan tindakan undang-undang dikemukakan Tan Sri Lim Kit Siang, sebelum ini.
Annuar berkata beliau dapat tahu mengenai surat saman itu melalui isterinya yang menghubunginya ketika perjalanan ke Jempol, semalam.
“Peguam dia telah menyerahkan surat (saman) itu ke rumah. Saya telah meminta peguam saya menghantar surat saman balas kepada dia pada lusa,” kata Annuar.
Beliau ditemui pada program sesi ceramah dan pelancaran jentera pilihan raya Perikatan Nasional (PN) Jempol, di sini, malam tadi.
Bekas Setiausaha Agung UMNO yang kini menjadi ahli PAS, berkata saman balas ke atas Kit Siang susulan kenyataan pemimpin veteren DAP itu di laman sosial beliau, semalam.
Dalam kenyataan itu, Kit Siang mendakwa perkara pertama Annuar lakukan sebaik menyertai Pas ialah mencontohi Presiden Pas (Tan Sri Abdul) Hadi Awang untuk membuat dakwaan liar, tidak masuk akal dan tidak berasas.
“Itu mencemarkan kewibawaan saya sebagai orang politik maka saya akan mendakwa Lim Kit Siang kerana cuba membuat ‘defamation’ terhadap saya. Saya harap dia pertahankan diri!
“Dia nak dakwa saya, tiada masalah. Malam ini pun saya boleh ulang sekali lagi (ucapan sebelum ini), supaya peguam Kit Siang boleh ambil ucapan saya di Bachok dan Jempol malam ini, gabung dua-dua dan bawa ke mahkamah.
“Kita orang perjuangan, kita tidak mudah boleh diugut atau diapa-apakan selagi mana kita berkata benar,,sebab saya berpegang pada kebenaran. Saya bukan bercakap di belakang. Setiap malam saya berpidato secara terbuka. Nak saman? ‘Bring it on!’ Tak ada masalah,” tegas beliau.
Sebelum ini, Annuar didakwa mengaitkan veteran DAP itu dengan tragedi rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.
Pada ceramah di Bachok Kelantan, Khamis lalu, Annuar mengaitkan Kit Siang dengan insiden 13 Mei 1969 ketika pilihan raya umum pertama yang disertai DAP pada tahun sama.
Susulan ucapan ceramah itu, Kit Siang mahu mengambil tindakan undang-undang ke atas Annuar. – JURNAL