Ibu kepada tiga orang anak lelaki, Emilia Hanafi mendedahkan dirinya pernah dibogelkan ketika menjalani hukuman penjara yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.
Tambahnya, insiden itu terjadi sewaktu dia dipindahkan dari Maktab Penjara ke blok Dahlia dalam Komplek Penjara Kajang pada hari keempat ditahan.
“Maktab Penjara dan blok Dahlia adalah pusat transit prosedur kesihatan bagi mencegah penularan pandemik. Maknanya semua banduan baharu tidak terus masuk sel utama, mereka perlu lalui dua pusat kuarantin ini terlebih dahulu.
“Prosedur itu (ketuk ketampi) selalunya dilakukan bagi memastikan banduan kes dadah tidak membawa barang terlarang ke dalam penjara.
“Tetapi peliknya, kenapa saya yang menjalani hukuman atas kesalah syariah perlu berbogel dan ketuk ketampi sambil disaksikan semua banduan lain.
“Dan adakah kaedah sedemikian sesuai untuk pesalah Syariah wanita kerana undang-undang ini adalah berlandaskan agama Islam?
“Ini kerana saya juga terpaksa berbogel semasa mandi kerana tiada kain basahan disediakan. Adakah ini undang-undang berlandaskan Islam sedangkan ia kes syariah?” soalnya kecewa.
Emilia bercerita pengalaman itu kepada Media Variasi sebaik dibebaskan daripada penjara pada 3 Julai 2022 kerana tidak mahu digelar banduan gara-gara dipenjarakan atas ketidakadilan sistem undang-undang.
Sebelum itu, wanita berusia 43 tahun itu diperintah menjalani hukuman penjara tujuh hari atas kesalahan ingkar perintah Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur setelah mengubah tarikh lawatan anak dengan bekas suaminya.
Emilia membuat permohonan semakan kehakiman yang difailkannya bagi mencabar bidang kuasa Mahkamah Syariah Kuala Lumpur yang menjatuhi hukuman penjara tujuh hari terhadapnya dan kes itu masih berjalan. – JURNAL