Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang menyifatkan sifat degil yang diwarisi sejak kecil menjadi pencetus motivasi untuk terus berjuang biarpun dalam keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.
Perkara itu dibuktikan pelumba berusia 36 tahun berkenaan apabila dia berjaya memenangi pingat emas acara keirin di Kejohanan Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Adelaide, Australia selain menamatkan saingan di tempat keempat dalam acara pecut individu, semalam.
Pencapaian itu dianggap menakjubkan mengambil kira Azizulhasni yang diberi julukan The Pocket Rocketman beraksi dalam keadaan dirinya dibelenggu masalah kesihatan membabitkan jantungnya.
Menerusi hantaran di Facebook miliknya Azizulhasni, berkata asasnya, apabila dia tidak memberikan pilihan kepada diri sendiri untuk mengalah, satu-satunya pilihan yang ada adalah untuk terus berjuang.
“Kesakitan itu masih ada, rasa dada ketat, susah untuk bernafas dan tidak selesa, juga sakit di sternum tempat dada saya dipotong dahulu,”
“Jujur saya beritahu yang saya berada di luar zon selesa ketika perlumbaan. Perlumbaan akhir keirin tempoh hari memang UNBELIEVABLE! (sukar dipercayai). Kalau tanya saya sekarang, saya pun tak tahu dan tak percaya macam mana semua itu boleh berlaku.
“Bagi saya ia adalah berkat doa ibu saya di kampung, juga berkat doa isteri dan anak-anak di rumah serta ahli keluarga yang lain. Mungkin juga rezeki baby (bayi) baru saya dan isteri, Amna Aseeya,” katanya yang membuat keputusan tidak beraksi di penentuan gangsa pecut semalam di Adelaide kerana kerana mengalami gejala perikarditis selepas perlumbaan separuh akhir.
Jelas Azizulhasni, dalam kehidupan pasti didatangi dengan pelbagai ujian dan kesusahan.
“Ia terpulang kepada kita untuk mengalah atau terus bangkit melawan. Saya harap semua yang membaca perkongsian ini boleh doakan agar saya sentiasa diberikan kesihatan yang terbaik dan dipermudahkan segalanya untuk ke Olimpik Paris 2024 InsyaAllah,” jelasnya.
Juara dunia 2017 itu mengakui bahawa keputusan untuk berlumba di Adelaide adalah tindakan tidak masuk akal kerana pihak hospital menasihatkannya berehat selama empat hingga enam minggu disebabkan perlu mengambil ubat perikarditis.
“Saya buat kerja gila. Saya ambil risiko sekali lagi demi negara tercinta.
“John, I still want to go to Adelaide and we will see how it goes there” saya menelefon John Beasley di Malaysia (sebelum kejohanan).
“Percaturan saya, kalau tak menang pun, sekurang-kurangnya dapat tempat tercorot masih memberikan sedikit mata bagi mengimbangi kutipan mata kelayakan Sukan Olimpik Paris. Janji saya pada isteri, kalau saya terasa sakit yang melampau dan berasa keterlaluan saya akan terus berhenti, tidak kisahlah walaupun ketika perlumbaan.
“Saya juga dinasihatkan oleh pelbagai pihak untuk tidak meneruskan latihan (selepas disahkan menghidap perikarditis) apatah lagi menyertai pertandingan besar seperti Piala Negara-Negara ini. Saya runsing. Tanggungjawab saya untuk negara amat besar.
“Kalau tak berlatih nanti prestasi saya akan menurun. Hendak dapat balik (rentak) bukan senang, mahu sembelit dibuatnya. Kalau tak bertanding pula, takut merencatkan mata kelayakan ke Olimpik. Parah, berhari-hari saya tidur tak lena, mandi tak basah. Nasib baik ada isteri tersayang dan anak-anak yang menjadi penenang ketika resah,” katanya. – JURNAL
Sumber: BERITA HARIAN