Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini sedang menyiasat satu lagi kes kematian melibatkan seorang doktor di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang, yang didakwa berpunca akibat dibuli semasa menjalankan tugas.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, dalam pendedahannya memaklumkan bahawa siasatan dalaman telah dimulakan sebaik sahaja aduan diterima.
“Saya sedar ada dakwaan bahawa KKM lambat bertindak dalam menangani kes buli dalam kalangan pengamal perubatan. Namun, kementerian telah menjalankan siasatan segera setiap kali aduan diterima, termasuk kes kematian yang berlaku di Hospital Seberang Jaya ini. Kami sedang menunggu hasil siasatan dalaman sebelum tindakan selanjutnya diambil,” katanya.
Beliau turut memberi respons kepada soalan tambahan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) mengenai kemungkinan pembentukan jawatankuasa bebas untuk meneliti kes tersebut secara menyeluruh.
Dr Dzulkefly juga menegaskan, siasatan terhadap kes-kes serupa pernah dilakukan sebelum ini, seperti yang berlaku pada 2018. – JURNAL
Sumber: Berita Harian