Hanya selepas satu hari Meta melancarkan aplikasi Threads, platform media sosial baharu itu berjaya mencatatkan 30 juta pendaftaran.
Ketua Pegawai Eksekutif Meta, Mark Zuckerberg berkongsi mengenai perkembangan tersebut menerusiakaun Threads miliknya.
“Wow! 30 juta pendaftaran pagi ini, rasa seperti permulaan sesuatu yang baru. Tapi masih banyak lagi kerja yang perlu dilakukan untuk membangunkan aplikasi ini,” katanya.
Hantaran tersebut mendapat 263,171 tanda suka dengan 41,313 komen.
Sebelum itu, Mark yang menggunakan nama @zuck di Threads, berkongsi perkembangan aplikasi tersebut dari semasa ke semasa.
Agak membanggakan kerana pada empat jam pertama lima juta pendaftaran telah dicatat.
Platform yang menjadi pesaing Twitter milik Elon Musk itu dilihat mampu menjadi fenomena baharu media sosial.
Setakat jam 11.30 pagi Jumaat, akaun Threads @zuck sudah memiliki 1.7 juta pengikut dan semakin meningkat.
Mark juga telah memuat naik tujuh hantaran setakat ini dan yang terbaru foto bersama anaknya.
Tinjauan Jurnal di Threads @zuck mendapati rata-rata pengikut mahu melihat samada Mark boleh mengatasi bilangan pengikut Elon Musk yang sudah menghampiri angka 150 juta di platform Twitter.
Threads diperkenalkan sebagai ‘spin-off’ di Instagram, yang menawarkan lebih daripada dua bilion pengguna.
Menariknya, platform baharu itu tidak memerlukan pengguna bermula dari bawah. – JURNAL