Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) berkongsi imej satelit yang merakam gurun kering di bumi Mekah sebelum ini bertukar kehijauan.
Selain Mekah imej Satelit Terra yang dikeluarkan NASA turut merakam pemandangan hijau di beberapa kawasan lain di Arab Saudi seperti Jedah dan Madinah.
Laman berita Middle East Monitor melaporkan tanah tandus bertukar hijau selepas mengalami perubahan cuaca akibat hujan lebat berterusan bulan Disember lalu.
Imej dan video tersebut tular di laman-laman media sosial dengan ramai pengguna meluahkan rasa terkejut melihat pemandangan itu.
Ada antara mereka yang mengaitkan situasi tersebut dengan tanda-tanda kedatangan hari kiamat.
Seorang pelayar media sosial berkata, kiamat makin dekat dengan salah satu tandanya adalah Mekah yang menghijau.
“Jadi sabda Rasulullah SAW kini menjadi kenyataan. Pengakhiran dunia semakin dekat, semoga Allah SWT merahmati kita semua,” katanya.
Bagaimanapun, ada juga antara pengguna yang menjelaskan bahawa fenomena tersebut hanyalah sementara dan pernah berlaku sebelum ini.
“Saya tinggal berhampiran kawasan ini, fenomena yang sedang berlaku adalah normal setiap kali hujan lebat, rumput akan tumbuh dalam masa semalaman dan hilang dalam beberapa hari,” dakwa seorang pelayar yang mendakwa dirinya sebagai penduduk tempatan. – JURNAL