Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, sekali lagi mengemukakan permohonan ampun kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, susulan kenyataan yang dianggap mempertikaikan kewibawaan institusi kesultanan negeri itu berhubung pemilihan Menteri Besar Selangor.
Ini merupakan kali kedua Sanusi, yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), memohon ampun kepada Sultan Selangor selepas kali pertama pada 14 Julai tahun lalu.
Dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat EXCO di Wisma Darul Aman semalam, Sanusi menyatakan bahawa warkah permohonan ampun terbaharu itu telah dihantar kepada baginda.
Dalam warkah tersebut, Sanusi menyatakan rasa hormat dan penuh takzim kepada Sultan Selangor, serta kesal atas kenyataannya yang dibuat pada 11 Julai 2023 di Taman Selayang Mutiara, Gombak, yang dianggap menghina Sultan.
“Patik menyedari kata-kata patik telah menimbulkan rasa tidak selesa serta mengguris hati Tuanku, dan patik benar-benar kesal atas kesan negatif yang timbul. Tiada niat di hati patik untuk mempersendakan Tuanku yang patik hormati dan sanjungi,” katanya dalam permohonan maaf itu.
Beliau juga mengakui kesilapannya mengeluarkan kenyataan yang dianggap tidak beradab, menghina, dan tidak sopan, walaupun ia berlaku dalam suasana kehangatan kempen pilihan raya.
Justeru, beliau memohon ampun daripada Sultan Selangor, Menteri Besar Selangor, serta rakyat negeri tersebut atas keterlanjurannya.
Sanusi turut berjanji akan lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan pada masa depan dan memastikan ucapannya selaras dengan adab budaya Melayu yang menjunjung tinggi institusi Raja.
Kenyataannya yang tular pada Julai lalu berhubung pelantikan Menteri Besar Selangor mendapat reaksi negatif dari pelbagai pihak, dengan laporan polis dibuat terhadapnya kerana kenyataan tersebut dianggap menghina institusi beraja Selangor.
Pada 18 Julai 2023, Sanusi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang atas dua pertuduhan menghasut berkaitan isu pelantikan Menteri Besar Selangor serta penubuhan Kerajaan Perpaduan.
Kes tersebut kini dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk perbicaraan.
Jika sabit kesalahan, beliau boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau denda RM5,000, atau kedua-duanya sekali, di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948. – JURNAL
Sumber: Berita Harian