Lelaki ini sanggup menghabiskan hampir setengah juta ringgit hanya semata-mata untuk memenuhi impian serta minatnya kepada Yamaha RX-Z dan dia memiliki kesemua edisi motosikal legenda era 80-an itu yang kini menjadi buruan dalam kalangan peminat motor.
Tidak kiralah keluaran tahun 1980-an dengan hanya transmisi lima kelajuan hinggalah dinaik taraf oleh Yamaha kepada transmisi enam kelajuan pada 1990-an, Wan Noor Azmirulllah Wan Noor Abidin, 35, memiliki semuanya malah beberapa model motosikal itu lebih daripada satu berada dalam simpanannya.
Maka tidak menghairankan apabila garaj rumahnya yang terletak di Kampung Gong Badak, Terengganu menjadi tumpuan peminat motor yang kembali mencari
motosikal berkuasa 135cc itu selain boleh dianggap sebagai muzium mini RXZ apabila turut menerima kedatangan mereka yang ingin mengenali kenderaan
tersebut.
“Saya ada lebih 25 buah Yamaha RX-Z sama ada edisi Boss mahupun Catalyzer yang popular ketika ini dan model yang sukar diperoleh iaitu Millenium.
“Saya mula mencari dan mengumpul kesemua edisi ini pada 2013 apabila melihat ia menjadi buruan ramai selepas Yamaha menghentikan pengeluarannya pada 2010.
“Motor itu akan dicantikkan, diubah suai dengan menambah kelajuan pada spesifikasi tertentu, sistem brek serta ekzos dan kosnya untuk sebuah motosikal ada yang mencecah lebih RM40,000 kerana itu nilainya di pasaran lebih mahal daripada kenderaan baharu,” kata mekanik ini kepada Bernama.
Bayangkan, harga sebuah RX-Z yang juga sinonim sebagai motosikal ‘kapcai berkelas tinggi ’ kerana hanya memiliki kuasa 135cc dengan sistem dua lejang yang
buruk pun mampu mencecah RM10,000 hingga RM40,000!
Harganya juga boleh meningkat sehingga RM100,000 bagi kategori NOS atau stok lama yang baharu apabila kenderaan beroda dua itu diubah suai dan dicantikkan menggunakan alat ganti tulen yang kini sukar diperoleh di mana-mana bengkel atau kedai motor.
“Ia jadi mahal sebab motosikal ini sudah tidak lagi dikeluarkan dan alat ganti atau aksesorinya sukar didapati.
“Benarlah kata orang, hobi ini mahal tetapi saya kumpul dan ubah suai sikit-sikit ikut kemampuan, ada yang saya buat sendiri atau hantar ke bengkel di Klang untuk cantikkan.
“Mungkin ada yang menganggap kami ini pemboros tetapi sebenarnya ia adalah satu pelaburan juga apabila ada yang sanggup membeli dengan harga lebih mahal,” katanya.
Biarpun mengetahui spesifikasi yang dibuat dan dicantikkan itu adalah salah serta boleh diambil tindakan oleh pihak berkuasa, Wan Noor Azmirulllah berkata
semuanya dilakukan demi kepuasan selain aktif menyertai pelbagai program permotoran termasuk RX-Z Fighter Gathering Malaysia 2024 di sini baru-baru ini.
Percaturan beliau ternyata membuahkan hasil apabila koleksi motosikal yang dipertandingkan itu berjaya merangkul pelbagai anugerah dan memberi peluang untuk Wan Noor Azmirullah membawa pulang wang tunai ribuan ringgit malah beliau turut didatangi pembeli yang berminat untuk mendapatkan koleksi motornya.
“Untuk program di Kuantan, saya tonjolkan RX-Z Catalyzer tahun 2009 yang telah diubah suai menggunakan alat ganti dan aksesori motosikal berkuasa tinggi kerana inginkan kelainan serta menampakkan ia lebih hebat dan garang.
“Motor ini saya tidak bawa atas jalan raya dan hanya untuk koleksi dan penyertaan dalam mana-mana program permotoran. Inipun dibawa menggunakan kenderaan pacuan empat roda termasuk dari Terengganu ke Klang untuk proses mencantikkannya,” kata beliau sambil menambah motosikal yang dipertandingkan itu sudah ada pembelinya. – JURNAL
Sumber: BERNAMA