Seorang anak sanggup memijak muka dan memukul ibunya selepas disyaki gagal memperoleh RM20 untuk membeli dadah di Kampung Gual Jedok, Kelantan, pada Sabtu lalu.
Kejadian itu menyebabkan wanita berusia 65 tahun bengkak di kepala, dahi dan juga mata serta sakit pada bahagian badan sebelum mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Tanah Merah.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd Haki Hasbullah, berkata suspek yang juga bekas anggota tentera berusia 32 tahun.
Katanya, kes itu diketahui selepas abang suspek menerima satu rakaman video daripada abang iparnya jam 2.30 petang kelmarin sebelum tampil membuat laporan jam 5.08 petang hari sama.
“Melihat rakaman video itu, abang suspek membuat laporan polis kerana bimbang keadaan ibunya berikutan suspek tinggal berdua dengan ibunya. Siasatan awal, kejadian berlaku di sebuah rumah yang mana suspek disyaki bertindak memijak muka dan memukul ibunya.
“Kejadian berpunca selepas suspek marah apabila ibunya tidak memberikan wang yang diminta sebanyak RM20 untuk membeli dadah,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Katanya, suspek ditahan dan hasil soal siasat awal lelaki itu mengaku memukul kerana mangsa tidak memberikan wang yang diminta.
“Suspek yang juga pemegang kad orang kurang upaya (OKU) mental ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga (AKRT).
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine serta mempunyai dua rekod kesalahan lampau berkaitan dadah,” katanya.
Suspek ditahan reman empat hari bermula semalam untuk siasatan lanjut.
Mohd Haki berkata, akibat dadah, anak kandung boleh melupakan ibunya dan sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan wang.
Beliau meminta semua pihak memainkan peranan untuk menangani kes seperti itu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini daripada terus berlaku. – JURNAL
Sumber: BH ONLINE