Selepas membantu Liverpool meraih kemenangan gemilang 3-0 ke atas Manchester United di Old Trafford, Mohamed Salah mendedahkan bahawa musim ini adalah yang terakhirnya di Anfield.
Bintang Mesir itu, yang kini memegang rekod sebagai pemain pelawat dengan jaringan terbanyak di Old Trafford dalam sejarah Liga Perdana Inggeris dengan tujuh gol, berjaya menjaringkan satu gol dan memberikan dua bantuan kepada Luis Diaz dalam perlawanan tersebut.
Di bawah kendalian pengurus baharu, Arne Slot, Liverpool mempamerkan persembahan cemerlang, manakala Manchester United kelihatan lesu sepanjang perlawanan dan berpotensi dibolosi lebih banyak gol jika Salah dan rakan sepasukan memanfaatkan peluang yang ada di penghujung perlawanan.
Ketika pemain Liverpool lain meraikan kemenangan, Salah membuat pendedahan mengejut selepas perlawanan itu.
“Saya mengharungi musim panas yang bagus, dengan masa yang panjang untuk memikirkan tentang masa depan saya. Ini adalah tahun terakhir saya dengan kelab dan saya mahu menikmatinya. Saya rasa saya bebas untuk bermain bola sepak – kita lihat apa yang akan berlaku tahun depan. Tidak ada sesiapa di kelab yang bercakap dengan saya berkenaan kontrak. Ia bukan di tangan saya, ia bergantung kepada kelab,” kata Salah yang kini berusia 32 tahun.
Arne Slot memulakan kariernya di England dengan cemerlang, menjadi pengurus Liverpool pertama yang memenangi pertemuan sulung menentang Manchester United sejak Bob Paisley pada November 1975, dan yang kedua melakukannya di tempat lawan selepas George Kay pada November 1936.
“Banyak kemungkinannya, tetapi ketika ini dia (Salah) adalah sebahagian daripada kami dan saya sangat gembira dengannya. Saya tidak bercakap tentang kontrak,” kata Slot, mengulas mengenai masa depan Salah.
Beliau juga memuji prestasi keseluruhan pasukan, “Dia sangat mengagumkan, seperti pada dua perlawanan pertama, tetapi jika anda hanya fokus pada individu, ia tidak adil kepada pemain lain.
Apa yang anda ingin lihat sebagai pengurus dapat dilihat dalam perlawanan ini. United bermula dengan baik, tetapi selepas jaringan kami dibatalkan, tiada reaksi negatif dari pasukan.
Kami terus bermain, menjaringkan tiga gol, dan sepatutnya boleh lebih banyak lagi,” tambah Slot.
Kemenangan ini menandakan permulaan yang memberangsangkan bagi Slot di Liverpool, dan pada masa yang sama, menimbulkan pelbagai spekulasi mengenai masa depan Salah di kelab tersebut. – JURNAL
Sumber: Reuters