Masihkah kalian ingat gambar mesra antara dua ekor spesis haiwan berbeza iaitu monyet dan angsa ini?
Gambar ini pernah mendapat perhatian ramai di laman Facebook pada satu ketika dahulu.
Kini si monyet yang dinamakan Michael, manakala si angsa iaitu Cotton dilaporkan telah terbunuh dalam satu kebakaran yang berlaku pada 1 Disember lalu.
Kebakaran yang berlaku di Chonburi, Thailand itu menjadi detik terakhir dua makhluk Allah itu bersahabat di dunia.
Ternyata Allah lebih menyayangi Michael (monyet) dan Cotton (angsa) apabila mereka ditemui mati dalam bilik air akibat lemas dengan asap kebakaran.
Kisah tragik dua sahabat itu terjadi apabila si monyet yang sedang seronok bermain terpegang wayar elektrik.
Jeritan kuat Michael akibat terkena renjatan letrik menyebabkan Cotton berlari ke arahnya, tetapi malangnya si angsa turut sama-sama direnjat arus.
Disebabkan insiden itu, maka berlakulah litar pintas yang kemudiannya mencetuskan kebakaran.
Pihak Bomba mengambil masa kira-kira sejam untuk memadamkan api yang marak.
Bagaimanapun, kedua-dua jasad haiwan peliharaan itu tidak dijilat api kerana suhu dalam bilik air yang lembap.
Penduduk kampung kelihatan sebak melihat tragedi yang menyayat hati itu.
Lebih sebak, semestinya tuan empunya haiwan terbabit yang memelihara mereka sejak lahir lagi.
Lelaki separuh abad itu terduduk menangis teresak-esak di sisi bangkai Michael dan Cotton yang diletakkan bersebelahan oleh anggota bomba.
Difahamkan, bangkai mereka ditanam bersama-sama di bawah pohon kelapa dan tidak lama selepas itu, hujan gerimis mulai turun seakan-akan meratapi pemergian Michael dan Cotton. – JURNAL