Bekas penyerang Harimau Malaya, Safee Sali meluahkan rasa kecewa di atas mutu pengadilan berat sebelah pengadil dari Jepun, Ryuji Sato dalam perlawanan kumpulan B, Piala AFF, antara skuad Malaysia dan Vietnam di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi, pada malam Selasa.
Menerusi laman Instagram miliknya, Safee mempertikaikan tindakan Ryuji memberikan sepakan penalti kepada Vietnam yang mana terang-terangan menunjukkan pemain Malaysia tidak melakukan sebarang kesalahan atau tackle keras terhadap pemain lawan selain melayangkan kad merah kepada Azam Azmi.
“Famous dia ni semalam, bukan sekali…
“Pandangan saya, dia ni tak pernah dan tak pandai bermain bola sepak. Permainan bola sepak sukan yang dimainkan dengan menggunakan tubuh fizikal, dalam masa yang sama ia menggunakan mental dan emosi.
“Bila mana orang yang tidak tahu menahu sentuhan secara keras demi perjuangan nama megara, itulah tindakan dan layangan kad yang tidak sepatutnya terjadi,” tulis Safee di ruangan kapsyen.
Menurut Safee lagi, mutu pengadilan Ryuji boleh dipertikaikan kerana terang-terangan bersifat bias dan berat sebelah.
“Berat sebelah dan nampak ketidakadilan di situ. Suruh dia rembat bola lepas tu ada defend boy contact dia… apa dia rasa,” luah Safee lagi.
Menerusi ruangan komen, rata-rata bersetuju dengan pendapat Safee termasuk pelakon Sharnaaz Ahmad yang turut memerli cara pengadilan Ryuji.
“Dulu dia main catur,” tulis Sharnaaz. – JURNAL