Roti canai sekali lagi dinobatkan sebagai salah satu makanan terbaik dunia oleh TasteAtlas.
Makanan kegemaran rakyat Malaysia itu merupakan juara daripada 100 jenis roti terbaik di seluruh dunia.
Menerusi carta dikeluarkan TasteAtlas pada Ahad lalu, roti canai bukan sahaja berjaya mengalahkan India yang popular dengan roti naan tetapi juga Eropah yang dikenali sebagai negara penghasilan pastri terbaik dunia.
Sementara itu menerusi hantaran di laman sosial X (Twitter) @TasteAtlas, roti canai telah menerima penilaian sebanyak 4.9 bintang.
Walaupun markah penilaian tersebut sama dengan Pan de Mono dari Kolumbia, namun keunikan dan kesedapan tersendiri yang ada pada roti canai telah melayakkannya bergelar juara.
Ini bukan pertama kali roti canai menerima pengiktirafan daripada Tasteatlas tetapi sebelum ini pada Julai lalu, ia pernah dinobatkan sebagai ‘roti rata’ terbaik di dunia dan sekali lagi berjaya mengalahkan roti naan dari India.
Tahun lalu juga, roti canai turut dianugerahkan sebagai ‘makanan jalanan’ terbaik di dunia oleh laman antarabangsa itu. – JURNAL