Datin Seri Rosmah Mansor sekali lagi memohon untuk mendapatkan sementara pasportnya daripada Mahkamah Rayuan bagi membolehkan beliau melawat anak perempuannya, Nooryana Najwa Najib dan keluarga anak sulungnya itu di Singapura.
Dalam permohonan ketiga itu yang dibuat melalui notis usul bertarikh 2 Jun lalu, Rosmah memohon mendapatkan sementara dokumen perjalanan berkenaan selama empat minggu iaitu daripada 6 Jun sehingga 7 Julai ini.
Beliau sebelum ini dibenarkan untuk mendapatkan sementara pasportnya pada 15 Oktober 2021 bagi melawat Nooryana Najwa yang bersalin anak kedua dan yang kedua pada 21 Mac lalu, juga untuk melawat Nooryana Najwa dan cucu lelakinya yang tidak sihat.
Nooryana Najwa berkahwin dengan warganegara Kazakhstan, Daniyar Kessikbayev dan mereka kini sedang menetap di Singapura.
Perkara itu disahkan oleh peguamnya, Datuk Akberdin Abdul Kader ketika dihubungi pemberita hari ini.
Dalam afidavit sokongan notis usul itu, Rosmah berkata beliau dinasihati oleh peguamnya bahawa permohonan untuk mendapatkan dokumen perjalanan itu adalah teratur dan pendakwaan tidak mempunyai apa-apa bantahan terhadapnya.
“Atas dasar itu, saya dengan rendah diri memohon kepada mahkamah suatu kebenaran untuk membenarkan pasport antarabangsa saya diambil oleh saya untuk saya menggunakannya bagi mengadakan lawatan peribadi bagi melawat anak perempuan saya dan keluarganya di Singapura,” katanya.
Rosmah berkata, beliau mengaku janji untuk menyerahkan kembali pasport itu kepada mahkamah dengan kadar segera atau selewat-lewatnya seminggu selepas pulang dari Singapura.
Permohonan Rosmah itu akan didengar Mahkamah Rayuan esok.
Rosmah merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 1 September tahun lalu, yang mendapati beliau bersalah atas tiga tuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak, dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta.
Hakim Mohamed Zaini Mazlan memerintahkan Rosmah dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda itu, tetapi membenarkan permohonannnya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya yang akan didengar Mahkamah Rayuan pada 11 hingga 14 Julai ini. – JURNAL
Sumber: BH ONLINE