Platform permainan video popular, Roblox, kini memperkenalkan kawalan sekatan baharu yang bertujuan melindungi pengguna bawah 13 tahun. Antara langkah baharu termasuk menghapuskan keupayaan mereka menghantar mesej kepada orang luar di luar permainan, walaupun mesej dalam permainan masih dibenarkan dengan kebenaran ibu bapa.
Roblox, yang mencatatkan sekitar 89 juta pengguna pada suku terakhir, turut memperkenalkan sistem pengurusan akaun jarak jauh. Melalui ciri ini, ibu bapa boleh memantau akaun anak, melihat senarai rakan, menetapkan had perbelanjaan, serta menguruskan waktu skrin anak mereka.
“Perubahan ini dibangunkan selepas beberapa pusingan penyelidikan dalaman, termasuk wawancara, kajian kebolehgunaan, serta tinjauan antarabangsa bersama ibu bapa dan anak-anak. Kami juga mendapatkan pandangan daripada pakar keselamatan kanak-kanak dan literasi media,” menurut kenyataan Roblox.
Langkah baharu ini disambut baik oleh ibu bapa dan pakar, tetapi ada yang merasakan ia sudah lama tertangguh. Roblox sebelum ini sering dikritik kerana kelemahan kawalan keselamatan, menjadikannya sasaran individu berniat jahat yang berusaha mendekati kanak-kanak.
Kini, ibu bapa boleh menghubungkan akaun mereka dengan akaun anak, membolehkan mereka mengurus kawalan jauh dan memantau aktiviti anak secara terperinci. Untuk memastikan keselamatan, ibu bapa perlu mengesahkan akaun menggunakan ID atau kad kredit sebelum dapat mengakses ciri ini.
Melalui ciri ini, mereka boleh melihat purata waktu skrin anak, menetapkan had waktu skrin harian dan memantau senarai rakan dan pembelian anak.
Roblox juga menggantikan label kandungan berasaskan umur dengan kategori baharu seperti “Minimal” hingga “Restricted,” yang menunjukkan tahap kandungan sesuatu permainan. Pengguna bawah sembilan tahun hanya boleh mengakses permainan berlabel “Minimal” atau “Mild.”
Pengguna bawah 13 tahun pula tidak boleh mencari atau bermain permainan tanpa label, manakala kandungan terhad hanya boleh diakses pengguna berusia 17 tahun ke atas yang telah mengesahkan umur mereka.
Walaupun beberapa ciri, seperti pengurusan jarak jauh dan label kandungan, telah diperkenalkan, Roblox menjelaskan bahawa pelaksanaan penuh akan selesai menjelang suku pertama 2025.
Langkah ini dilihat sebagai “game changer” oleh ramai pihak kerana memberi kawalan lebih besar kepada ibu bapa dalam memastikan keselamatan anak-anak di dunia maya. – JURNAL