Datuk Rizalman Ibrahim dilantik sebagai Profesor Adjung Fakulti Akademi Kontemporari Islam (ACIS) Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkuat kuasa 13 Ogos 2023 hingga 30 Julai 2025.
Rizalman yang bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke-52 pada 28 Oktober ini mengakui, beliau secara peribadi terkejut dengan pelantikan di akademi pengajian yang sama sekali bertentangan dengan latar belakang pendidikan dan pengalamannya.
Beliau juga tidak henti-henti memanjatkan rasa syukur mengenai pelantikan tersebut dan menerimanya dengan penuh keinsafan selain harus dipikul dengan amanah yang cukup besar.
Kata Rizalman, tanggungjawab baharu yang dipikulnya itu akan memberi ruang dan kesempatan buat beliau berkongsi aspirasi dan ilmu serta pengalaman mengenai usaha pembangunan ummah.
Bertepatan dengan prinsip Islam adalah cara hidup yang sebenar, Rizalman berikrar untuk memberi panduan yang tepat mengenai keperluan menjadikan agama sebagai sendi dalam sistem kehidupan manusia.
Menurut Rizalman, tugasnya di ACIS atau Fakulti Akademi Kontemporari Islam lebih tertumpu kepada perkongsian ilmu dan pengalaman bukan sahaja dengan pelajar, bahkan, pasukan tenaga pengajar dan pengurusan juga akan dilibatkan sama.
“Realitinya, kita semua (manusia) datang dari sebuah ‘universiti’ (dunia) yang sama. Dunia adalah universiti kepada kita. Manusia adalah pelajar-pelajarnya dan saya bersyukur kerana dipilih sebagai salah seorang pembimbing oleh ACIS untuk membimbing pelajar.
“Pelantikan ini amat besar maknanya buat saya sebagai khalifah di bumi Allah SWT. Namun, sebelum menerima tugas besar ini, saya mohon pada Allah bantu saya tambahkan ilmu di dada untuk melancarkan amanah ini.
“Saya sedar saya juga manusia, ada banyak kekurangan, namun, dalam masa sama saya sentiasa yakin bahawa pengalaman dan kemahiran serta penglibatan saya dalam kerja-kerja kemasyarakatan selama ini akan menjadi bekalan buat saya di ACIS kelak,” ujarnya dalam temu bual dengan Astro AWANI, hari ini.
Untuk rekod, Rizalman juga sebelum ini merupakan Ahli Lembaga Pengarah UiTM selama tiga tahun.
Sebagai Profesor Adjung di ACIS, Rizalman yang juga Alumni UiTM diberi ruang untuk memberikan kuliah di akademi berkenaan selain berkongsi apa sahaja perihal yang boleh membawa kepada kebaikan ACIS, institusi pengajian itu serta pembangunan ummah secara keseluruhan.
“Saya amat teruja untuk berkongsi pandangan dan pengalaman bagaimana mencari model yang selesa untuk tangani masa depan agama penerimaan agama dalam masyarakat dan negara menerusi pelantikan ini.
“Sudah tentu segala perkongsian saya di ACIS akan berteraskan pada fundamental Islam, namun, tidak akan sama sekali mengabaikan keperluan dan tuntutan kita sebagai manusia di dunia ini,” jelas Rizalman.
Selepas mengumumkan persaraan sebagai pereka fesyen pada 20 Februari 2020, Rizalman memberikan fokus pada kerja-kerja kebajikan selain tekun meneladani pengajian agama.
Susulan keputusan beliau meninggalkan gelanggang fesyen, Rizalman mengasaskan Yayasan Rizalman Ibrahim bersandarkan kepada niatnya untuk membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat sejagat.
Sehingga kini, Yayasan Rizalman Ibrahim yang tidak henti-henti menyalurkan sumbangan kepada golongan yang memerlukan selain memberikan bantuan dari segi dana kepada sejumlah besar pelajar dari pelbagai universiti terkemuka negara.
Sementara itu, pelantikan Rizalman Ibrahim dilantik sebagai Profesor Adjung di ACIS disambut baik oleh Kumpulan Syarikat Rizalman Ibrahim (RIC).
Syarikat itu dalam kenyataannya berkata, pelantikan Rizalman dibuat berdasarkan pengalaman luas pereka fesyen dan ahli perniagaan tersohor negara itu dalam bidang yang diceburi beliau selama tiga dekad.
Pelantikan pengasas dan Pengerusi RIC itu juga diyakini akan memberi peluang kepada Rizalman menyumbang idea dan buah fikiran dalam mengolah pemikiran generasi muda.
“Berbekalkan pengalaman luas di dalam pelbagai bidang yang diceburi selama ini serta jiwa ‘Philanthropis’ yang beliau miliki, kami yakin Datuk Rizalman dapat menyumbang idea dan buah fikiran dalam mengolah pemikiran generasi muda terutamanya di institusi pengajian tinggi untuk menjadi seorang yang berfikiran luas dan berpandangan jauh,”kata RIC lagi. – JURNAL
Sumber: ASTRO AWANI