Pihak sekolah dan ibu bapa dinasihatkan agar memantau permainan lato-lato yang semakin menular dalam kalangan pelajar kerana ia boleh mendatangkan kecederaan.
Pengerusi Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Pihak Swasta (PIBKS) Kedah, Zainol Abidin Mohamad berkata, larangan membawa permainan tersebut ke sekolah juga wajar dikuatkuasakan bagi mengelak kejadian tidak diingini.
“Ini permainan baharu dan semakin dikenali di Malaysia. Namun, kini ia dilihat menular hingga terbawa-bawa ke sekolah.
“Kita harap senario ini dapat dikawal sebaik-baiknya kerana lato-lato mengeluarkan bunyi bising ketika ia dimainkan dan diyakini boleh mengganggu ketenteraman awam.
“Lebih-lebih lagi lato-lato mempunyai ladung yang berat dan jika terlepas daripada kawalan pemain lalu terkena muka pelajar, maka pastinya mampu mencederakan, sekali gus menimbulkan kemudaratan.
“Justeru dicadangkan supaya larangan pelajar bermain lato-lato di kawasan sekolah wajar dipertimbang untuk dikuatkuasakan,” usulnya pada Selasa lalu.
Beliau yang juga Focal Person Kebangsaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyarankan, semua pihak harus cakna terhadap kecemerlangan akademik pelajar memandangkan pandemik sebelum ini telah menjejaskan prestasi mereka.
Untuk info, permainan berasal dari Amerika Syarikat itu berbentuk dua biji ladung diperbuat daripada plastik padat, keras dan licin yang diikat kepada sebentuk cincin untuk disarungkan di jari pemain.
Cara memainkannya adalah dengan menghayun kedua-dua buah ladung tersebut mengikut daya halaju pemain sehingga saling berlanggar dan menghasilkan bunyi. – JURNAL