KRU Media mencetuskan fenomena baru dalam dunia hiburan dengan memperkenalkan dua hos AI pintar, Ash dan Lea, untuk platform e-news BOOM! pada Isnin lalu. Duo hos ini bukan sekadar penyampai berita biasa, tetapi revolusi yang menjanjikan penyampaian berita hiburan, ulasan filem, dan cerita sensasi yang lebih canggih dan bergaya.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KRU Group, Dato’ Norman Abdul Halim, pelancaran hos AI ini merupakan sebahagian daripada usaha syarikat ke arah pengoperasian studio AI sepenuhnya dengan memaksimumkan penggunaan teknologi kecerdasan buatan.
“Kami telah membuat persediaan dari segi semua aspek termasuk hebahan berita melalui BOOM! dan Jurnal. Ini adalah sebahagian daripada transformasi kami,” kata Norman.
Beliau turut berkongsi perancangan KRU Media untuk memperluas skop hebahan berita ke pasaran antarabangsa dengan menyesuaikan wajah dan gaya penyampaian hos AI berdasarkan keperluan setiap negara.
“Melalui revolusi ini, kami berharap dapat membantu bukan sahaja perniagaan KRU Media tetapi juga industri kreatif Malaysia untuk menembusi pasaran global,” tambahnya.
Dengan pengenalan Ash dan Lea, KRU Media membuktikan komitmen mereka untuk membawa kandungan tempatan ke peringkat antarabangsa, memberi nafas baru kepada industri hiburan dan memperkukuhkan posisi Malaysia di pentas global. – JURNAL