Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi yang dikemukakan pemilik kelab komedi kontroversi Crackhouse, Mohamad Rizal Johan Van Geyzel untuk menggugurkan tiga pertuduhan yang dihadapi di Mahkamah Sesyen pada Jumaat.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Noor Haslinda Che Seman semasa sebutan kes bagi status representasi yang telah difailkan pada 12 Disember tahun lalu di hadapan Hakim Nor Hasniah Ab Razak.
“Saya ingin maklumkan AGC telah menolak representasi tersebut,” kata Noor Haslinda.
Mendengar keputusan itu, peguam bela Pravin Mahentharan memaklumkan kepada mahkamah pihaknya akan membuat representasi kedua.
“Pihak kami akan membuat representasi kedua sebelum tarikh perbicaraan,” kata peguam itu.
Mahkamah kemudian menetapkan 6 April ini bagi sebutan semula kes dan keputusan untuk representasi kedua.
Semasa prosiding, Hakim Hasniah turut menetapkan tujuh hari bagi perbicaraan kes. Ia bermula pada 14 April, 2,3,22, 31 Mei serta 1 dan 2 Jun.
Mengikut tiga pertuduhan itu, Mohamad Rizal, 40, didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Facebook menggunakan nama profil ‘Rizal van Geyzel, Instagram ‘rizalvangeyzel’ dan TikTok ‘rizalvangeyzel’, antara 4 hingga 6 Julai 2022.
Ketiga-tiga hantaran itu kemudian dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ di sini, pukul 1.17 tengah hari, 13 Julai tahun lepas.
Kesemua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 233(1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.
Hukuman bagi seksyen itu membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika disabitkan kesalahan.
Sebelum ini, Mohamad Rizal dan rakannya Shankar R.Santhiram turut memfailkan tindakan undang-undang bagi mencabar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang membatalkan lesen perniagaan kelab itu dan tidak membenarkan mereka mendaftarkan sebarang perniagaan di ibu kota buat selama-lamanya.
Mohamad Rizal Johan Van Geyzel dan Shankar selaku pemohon memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi di sini pada 24 November tahun lalu.
Mereka menamakan DBKL, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu, Datuk Seri Jalaluddin Alias, Kementerian Wilayah Persekutuan dan kerajaan masing-masing sebagai responden pertama hingga kelima.
Kedua-dua pemohon memohon deklarasi bahawa keputusan dibuat DBKL dan Datuk Bandar Kuala Lumpur itu untuk membatalkan lesen perniagaan kelab komedi tersebut bertentangan dengan undang-undang.
Pemohon juga memohon deklarasi keputusan oleh Jalaluddin dan Kementerian Wilayah Persekutuan untuk melarang mereka mendaftarkan sebarang perniagaan di Kuala Lumpur buat selama-lamanya walaupun di bawah nama dan syarikat lain, adalah tidak berperlembagaan.
Pada 17 Ogos tahun lalu, media melaporkan pemilik Crackhouse Comedy Club telah disenaraihitam seumur hidup daripada mendaftarkan lesen perniagaan di mana-mana premis di ibu kota. – JURNAL
Sumber: KOSMO!