Duangpetch Promthep, salah seorang daripada 12 budak lelaki yang diselamatkan dalam tragedi sebuah gua di Thailand pada 2018, telah meninggal dunia di United Kingdom (UK).
Pada Ahad, remaja berusia 17 tahun itu ditemukan tidak sedarkan diri di asramanya di Leicestershire sebelum dia dibawa ke hospital dan meninggal dunia pada Selasa, lapor BBC.
Promthep dibawa dengan ambulans ke Hospital Besar Kettering pada petang Ahad, kata jurucakap Perkhidmatan Ambulans East Midlands.
Sebuah ambulans udara turut dihantar ke tempat kejadian.
Punca kematian masih belum dikenal pasti, namun polis berkata mereka tidak mengesan sebarang elemen mencurigakan.
Bagaimanapun, laporan dari Thailand menyebut remaja itu mengalami kecederaan pada bahagian kepala.
Promthep telah mendaftar di sebuah akademi bola sepak di UK sejak akhir tahun lalu.
Untuk rekod, remaja itu merupakan kapten pasukan bola sepak lelaki Thailand yang terperangkap di dalam Gua Tham Luang selama lebih dua minggu semasa meneroka wilayah Chiang Rai.
Dia menjadi perhatian dunia selepas tular foto memaparkan dirinya sedang tersenyum ketika diselamatkan dalam tragedi di gua itu. – JURNAL
Sumber: mStar Online