Gara-gara sebiji tayar lori treler tercabut dan terpelanting ke tepi jalan, seorang remaja lelaki maut ketika sedang meniaga air buah di tepi jalan di Kampung Merang, Setiu, Terengganu pada Selasa.
Dalam kejadian pada pukul 5 petang itu, mangsa, Muhamad Airiel Rizman Mohamad Nazeri, 18, meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian dada.
Rakannya, Nik Muhammad Afiq Rizani Mohd. Zainani, 22, yang turut menjual berniaga di situ pula mengalami patah tangan kanan serta mulutnya luka akibat terkena tayar sama.
Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintenden Afandi Husin berkata, sewaktu kejadian, lori treler dipandu lelaki berusia 37 tahun terbabit dikatakan dalam perjalanan ke Kampung Telaga Papan.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, sebiji tayar belakang lori treler berkenaan tiba-tiba tercabut lalu terpelanting dan terkena kedua-dua mangsa yang berniaga di lokasi berkenaan,” katanya.
Afandi berkata, Nik Muhammad Afiq Rizani yang cedera pula dihantar ke unit kecemasan hospital sama bagi menerima rawatan.
Tambah beliau, kes sedang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – JURNAL
Sumber: KOSMO!