Kementerian Dalam Negeri (KDN), hari ini mengumumkan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain @ Abd Rasid sebagai Ketua Polis Negara baharu.
KDN turut mengumumkan Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay sebagai Timbalan Ketua Polis Negara yang baharu.
Kedua-dua lantikan berkenaan akan berkuatkuasa bermula 23 Jun ini.
Razarudin dilantik secara kontrak selama dua tahun sehingga 22 Jun 2025.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Yang di Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) memperkenan pelantikan berkenaan.
“Adalah dimaklumkan bahawa seperti yang termaktub di bawah Fasal 4 dan 5 Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri atas perakuan SPP memperkenan pelantikan secara kontrak selepas bersara Tan Sri Razarudin Bin Husain @ Abd Rasid sebagai Ketua Polis Negara dan Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay sebagai Timbalan Ketua Polis Negara mulai 23 Jun ini.
“Kerajaan mengucapkan syabas dan tahniah di atas pelantikan ini,” katanya dalam sebuah kenyataan, hari ini.
Saifuddin berkata, Razarudin, 60, dilahirkan pada 15 Mac 1963 di Dengkil, Selangor.
Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Sains Sosial Pengajian Kepolisan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia menjawat pelbagai jawatan di peringkat Negeri dan Kontinjen.
Sementara itu, tambah Saifuddin lagi, Ayob, 57, tahun dilahirkan pada 27 Julai 1966 di Kota Setar, Kedah.
Ayob berkelulusan Ijazah Sarjana Teknologi Maklumat dari Universiti Kebangsaan Malaysia pernah menjawat pelbagai jawatan di peringkat Negeri dan Kontinjen. – JURNAL