Pasukan pembelaan pendakwah selebriti, Da’i Syed, menegaskan mereka mempunyai rayuan pembelaan yang bermerit dalam penangguhan hukuman terhadap anak guam mereka.
Peguam Datuk Abu Bakar Isa Rahmat menyatakan bahawa alasan inilah yang dipertimbangkan oleh mahkamah, menyebabkan penangguhan tersebut dibenarkan.
Walau bagaimanapun, Abu Bakar enggan mengulas lanjut mengenai fakta kes yang dikatakan sangat sensitif.
“Saya tidak dapat berbicara mengenai fakta kes, saya mohon maaf. Namun, ketika kami memohon penangguhan pelaksanaan, salah satu alasan kami ialah rayuan pembelaan yang bermerit,” jelasnya selepas prosiding pengurusan kes rayuan di Mahkamah Tinggi.
Tambahnya lagi, mereka baru dilantik sebagai peguam Da’i Syed dan sedang menunggu alasan penghakiman daripada Mahkamah Sesyen untuk memfailkan petisyen ke Mahkamah Tinggi.
Sebelum ini, Penolong Kanan Pendaftar Nadia Othman telah menetapkan 5 Oktober sebagai tarikh sebutan rayuan berkaitan keputusan Mahkamah Sesyen terhadap kesalahan rogol yang melibatkan Da’i Syed.
Pada 30 Ogos lalu, Hakim Mahkamah Sesyen, Norazlin Othman menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan terhadap Da’i Syed, yang didapati bersalah merogol seorang wanita berusia 23 tahun di sebuah kondominium di Seksyen 7, Shah Alam, lima tahun lalu.
Beliau didakwa di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan.
Abu Bakar menjelaskan bahawa permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman adalah prosedur biasa apabila keputusan kes dirayu ke peringkat lebih tinggi.
“Kadang-kadang netizen salah faham dengan mengatakan keadilan hanya untuk orang kaya, namun itu tidak benar. Anak guam saya telah dipenjara selama 21 hari.
“Jika tiada penangguhan pelaksanaan, dan kes didengar pada tahun hadapan, apa akan berlaku sekiranya anak guam saya didapati tidak bersalah selepas menjalani hukuman penjara? Oleh itu, undang-undang di Malaysia jelas bahawa kita boleh memohon penangguhan pelaksanaan sementara menunggu keputusan rayuan,” katanya.
Rayuan ini difailkan oleh Da’i Syed pada 30 Ogos kerana tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Sesyen. Ia melibatkan rayuan terhadap keseluruhan keputusan sabitan dan hukuman yang dikenakan.
Terdahulu, selepas 21 hari dipenjara atas pertuduhan rogol, Da’i Syed dibebaskan sementara oleh Mahkamah Tinggi setelah permohonan peguamnya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sehingga rayuannya didengar dan diputuskan. – JURNAL
Sumber: Kosmo!