Mahkamah Persekutuan menetapkan 21 Februari tahun depan bagi mendengar rayuan akhir seorang pemuda berusia 22 tahun yang disabitkan atas kesalahan membunuh 23 penghuni Darul Quran Ittifaqiyah dalam kejadian kebakaran, enam tahun lalu.
Pemuda itu merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 11 September lalu yang mengekalkan perintah agar dia ditahan di penjara selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.
Peguam Haijan Omar yang mewakilinya memberitahu wakil media, tarikh itu diperolehi selepas sesi pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahyun Yusof hari ini.
Sesi itu dihadiri oleh peguam Asyraf Abu Bakar Hamzah dan Timbalan Pendakwa Raya How Mei Ling bagi pihak responden.
Difahamkan, pihak pendakwaan tidak memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan seorang lagi pemuda juga berusia 22 tahun (penama kedua) daripada kesalahan serupa.
Pada 11 September lalu, Mahkamah Rayuan berpuas hati bahawa penama pertama bukan sahaja bertanggungjawab memulakan kebakaran, malah mengetahui perbuatannya boleh menyebabkan bencana tubuh kepada 23 mangsa dalam kejadian menyayat hati itu.
Panel itu turut berpendapat, keterangan pihak pendakwaan sebegitu kuat bahawa penama pertama merupakan pihak yang bertanggungjawab memanjat pagar belakang tahfiz untuk memulakan kebakaran.
Hakim Datuk Abu Bakar Jais yang bersidang bersama-sama Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali dan Datuk See Mee Chun berpuas hati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan keempat-empat elemen bagi mensabitkan pemuda itu terhadap kesemua pertuduhan.
Dalam kejadian 14 September 2017, seramai 21 pelajar dan dua guru pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah terkorban selepas terperangkap di tingkat tiga asrama pusat tahfiz yang marak dijilat api.
Pada 28 Januari 2020, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan penama kedua tanpa dipanggil membela diri terhadap pertuduhan dihadapinya.
Pada 17 Ogos 2020, Hakim Datuk Azman Abdullah bagaimanapun mendapati penama pertama bersalah dan mengenakan hukuman penjara selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong kerana perayu yang ketika itu berusia 16 tahun merupakan pesalah kanak-kanak.
Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001 menyatakan bahawa hukuman mati tidak boleh dijatuhkan ke atas pesalah kanak-kanak bawah umur 18 tahun namun mahkamah boleh menjatuhkan hukuman penjara selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.
Kedua-duanya yang ketika kejadian berusia 16 tahun, didakwa bersama-sama membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, di sini di antara 4.15 pagi dan 6.45 pagi, pada 14 September 2017. – JURNAL
Sumber: UTUSAN