Atlet karate negara, C. Shahmalarani semakin mencuri tumpuan di pentas antarabangsa, dengan cita-cita tinggi untuk melonjakkan kedudukannya ke ranking No. 10 dunia sebelum penghujung tahun ini.
Ketika ini, pada usia 25 tahun, Shahmalarani berada di kedudukan No. 15 dunia, namun penuh keyakinan untuk meningkatkan prestasi dan membuktikan dirinya layak berada dalam kelompok atlet elit global.
“Saya menetapkan sasaran untuk mencapai sekurang-kurangnya ranking No. 10 dunia. Semuanya bergantung kepada kemas kini kedudukan hujung tahun ini, sama ada saya boleh naik ke tangga 10, 11 atau 12,” jelasnya penuh optimis.
Shahmalarani tidak mencapai kejayaannya dengan mudah. Dia terpaksa berdepan kecederaan serius pada medial collateral ligament (MCL) tahap 2 ketika meraih pingat gangsa dalam kategori kumite bawah 50 kilogram di Kejohanan Karate Senior Asia 2024 di Hangzhou, China, baru-baru ini.
Walaupun beraksi dalam keadaan tercedera, dia berjaya mempamerkan semangat juang yang tinggi dengan menewaskan Choy Ying Ting dari Hong Kong dengan kemenangan 8-0 dalam pusingan repechage, sekaligus menyumbang pingat buat Malaysia.
Kejohanan tersebut merupakan yang terakhir bagi musim ini, dan Shahmalarani kini akan memberi tumpuan kepada pemulihan sepenuhnya sebelum kembali beraksi pada tahun hadapan.
Namun begitu, dia tidak akan berehat sepenuhnya dan tetap menjalani latihan intensif, fokus pada kekuatan dan mobiliti, untuk memastikan dia kembali ke gelanggang dalam keadaan terbaik.
Selain itu, Shahmalarani turut aktif dalam Liga Premier Karate sebagai platform menambah pendedahan antarabangsa.
Bagaimanapun, dia hanya sempat menyertai tiga kejohanan setakat ini dan merancang untuk bertanding lebih banyak kejohanan bagi mengukuhkan prestasinya.
“Untuk beraksi di peringkat tertinggi, kami perlu sertai lebih banyak kejohanan dunia. Pendedahan sebegini penting untuk meningkatkan prestasi dan bersaing dengan atlet terbaik dunia,” katanya penuh tekad. – JURNAL
Sumber: Kosmo!