Ratan Tata, tokoh perniagaan tersohor dari India, telah meninggal dunia pada usia 86 tahun. Bekas Pengerusi Tata Group, konglomerat gergasi yang dianggotainya lebih dari dua dekad, dikenali di seluruh dunia atas sumbangannya dalam membangunkan syarikat tersebut menjadi sebuah kuasa global.
Tata Group, yang mempunyai pendapatan tahunan melebihi $100 bilion, memainkan peranan penting dalam ekonomi India dan antarabangsa.
Di bawah kepimpinan Ratan Tata, syarikat ini memperoleh beberapa aset terkenal termasuk Corus (pembuat besi dan keluli Anglo-Dutch), jenama kereta Jaguar dan Land Rover dari UK, serta Tetley, syarikat teh kedua terbesar di dunia.
Dalam kenyataan penghormatan, Pengerusi Tata Sons, Natarajan Chandrasekaran, menggambarkan Ratan Tata sebagai “pemimpin yang luar biasa” dan mengucapkan takziah kepada keluarga serta semua yang mengenali beliau.
“Legasi beliau akan terus memberi inspirasi kepada kita semua,” kata Chandrasekaran.
Perdana Menteri India, Narendra Modi, turut menyifatkan Tata sebagai “pemimpin perniagaan yang berwawasan dan insan yang penuh belas kasihan.” Beliau menzahirkan rasa duka dengan pemergian Tata dan mengenang pelbagai interaksi mereka sepanjang hayatnya.
Tata yang dilahirkan pada 1937 dalam keluarga Parsi, memulakan kariernya di Tata Industries pada 1962. Pada 1991, beliau diangkat menjadi pengganti JRD Tata, yang juga menjadi mentor dan tokoh penting dalam hidupnya.
Beliau juga pernah terlibat dalam kontroversi apabila penggantinya, Cyrus Mistry, dipecat pada 2016, mencetuskan pertikaian dalam pengurusan Tata Sons. Namun, sumbangan dan pengaruh Tata dalam dunia perniagaan tidak dapat dinafikan.
Tata bukan sekadar ikon perniagaan, beliau juga dikenali dengan minatnya terhadap kereta, kapal terbang, dan scuba diving. Beliau adalah pencinta anjing dan sering berkongsi kasih sayangnya terhadap haiwan peliharaannya.
Sifat kesederhanaan Ratan Tata sering dipuji. Malah, pada tahun 2022, video beliau menaiki kereta Nano iaitu salah satu kereta termurah di dunia yang pernah diperkenalkan oleh Tata – tular di media sosial, menunjukkan kesederhanaan dalam gaya hidupnya.
Ratan Tata akan diingati sebagai tokoh yang merubah lanskap perniagaan India, meninggalkan legasi yang akan terus dikenang. – JURNAL
Sumber: BBC