Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah menggesa orang ramai, khususnya mereka yang terlibat dalam aktiviti pantai dan laut, untuk sentiasa peka terhadap ramalan cuaca terkini.
Langkah ini penting bagi memastikan keselamatan diri dan harta benda.
Menurut Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak, golongan yang berisiko seperti nelayan bot kecil, pengusaha bot pelancong, dan penumpang perlu mengambil serius keadaan cuaca dan laut sebelum memulakan aktiviti.
Ini bertujuan mengelak kejadian tidak diingini, terutamanya dengan ramalan ribut yang dijangka melanda kawasan perairan utara Semenanjung sepanjang minggu ini.
“Keadaan angin kencang dan laut bergelora sangat berbahaya untuk semua aktiviti rekreasi pantai dan laut,” katanya.
Tambah beliau, Maritim Malaysia mengingatkan orang ramai yang ingin melakukan aktiviti di laut untuk memastikan langkah keselamatan dipatuhi. Antaranya, memakai jaket keselamatan dan membawa Personal Locator Beacon (PLB) untuk memudahkan bantuan CARILAMAT sekiranya berlaku kecemasan.
Di samping itu, bot yang digunakan harus diperiksa terlebih dahulu untuk memastikan ia dalam keadaan baik.
“Pengusaha bot pelancong juga diingatkan supaya mematuhi semua peraturan laut, termasuk memastikan jumlah penumpang tidak melebihi kapasiti dan menyediakan jaket keselamatan yang mencukupi,” jelas Noor Azreyanti.
Sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut boleh dilaporkan melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579. – JURNAL
Sumber: Berita Harian