Malam tadi (Jumaat) telah berlaku fenomena penghijaban planet Zuhrah dengan bulan yang dapat dilihat dengan jelas di kebanyakan lokasi di negara ini.
Ia memperlihatkan lintasan bulan amat dekat dengan planet Zuhrah pada waktu yang sama iaitu bermula waktu Maghrib hingga Isyak, malam tadi (Jumaat).
Rata-rata netizen turut berkongsi foto dirakam mengenai detik bersejarah itu, memandangkan fenomena sama kali terakhir berlaku di negara ini pada 27 Mei 2022.
BERNAMA turut mengeluarkan foto pemandangan fenomena itu yang dirakam jam 7.38 malam tadi, di mana jarak antara Zuhrah dan bulan dipisahkan sejauh 21 arkaminit.
Sementara itu, Persatuan Astronomi Pulau Pinang melalui hantaran di Facebook memaklumkan kebanyakan kawasan di Malaysia dapat melihat planet Zuhrah dengan sangat dekat dan terang bersamaan magnitud -4.0.
“Dalam astronomi, ia berlaku apabila dua objek astronomi kelihatan berdekatan antara satu sama lain di langit.
“Secara teknikal, kedua-dua objek akan mempunyai kenaikan kanan yang sama atau longitud ekliptik yang sama, seperti diperhatikan dari Bumi.
“Dari beberapa bahagian Malaysia seperti di utara, Zuhrah akan kelihatan pergi di belakang anggota gelap bulan sabit, dan kemudian muncul dari sisi yang terang,” katanya. – JURNAL