Orang ramai dijemput hadir memeriahkan siri rumah terbuka sempena Aidilfitri anjuran Perdana Menteri bersama Jemaah Menteri di enam negeri, hingga Mei depan.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, berkata Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia MADANI akan diadakan di Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu serta Selangor.
“Semoga Syawal ini memberi peluang untuk saling bermaafan, di samping mengeratkan lagi silaturahim sesama kita,” katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.
Majlis berkenaan akan diadakan di Hotel Raia, Alor Setar, Kedah, bermula jam 10 pagi hingga 2 petang 29 April ini; Universiti Teknologi MARA (UiTM) Permatang Pauh, Pulau Pinang (jam 11 pagi hingga 2 petang 6 Mei); Dewan Majlis Bandaraya Seremban, Negeri Sembilan (jam 11 pagi hingga 2 petang 7 Mei).
Seterusnya di pekarangan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, Kelantan dari jam 7 malam hingga 10.30 malam 12 Mei depan; Dewan Al-Muktafi Billah Shah, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kuala Terengganu, Terengganu (jam 7 malam hingga 10.30 malam 13 Mei); dan Kawasan Komersial Fasa 3, Taman Sri Gombak, Selangor (jam 8 malam hingga 11 malam 14 Mei). – JURNAL