Beberapa potongan video seorang pegawai kanan tertinggi polis memukul isteri keduanya tular di media sosial termasuk aplikasi Whatsapp.
Video tersebut memaparkan pegawai kanan tersebut memukul isterinya kerana provokasi yang datang daripada wanita tersebut ketika mereka bertengkar.
Selain video, salinan laporan polis yang dibuat isteri pegawai kanan tersebut turut tersebar.
Wanita tersebut mendakwa dipukul suaminya di kediaman mereka, di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.
Laporan polis telah dibuat di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail (TTDI), kira-kira jam 8 malam, pada 1 Mac lalu.
Difahamkan kejadian itu berlaku selepas tercetus pergaduhan antara suami isteri berkenaan yang dipercayai berpunca daripada isu harta serta nafkah.
Wanita berusia lingkungan 40-an itu mendakwa dipukul suaminya di bahagian kepala dan belakang leher.
Sementara itu, bekas pegawai polis berusia lingkungan 70-an terbabit turut membuat laporan menerusi peguamnya di balai polis sama kira-kira jam 3 petang tadi.
Bekas pegawai kanan tertinggi polis berkenaan pula membuat laporan menyatakan beliau dipukul menggunakan helmet dalam kejadian itu.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu. – JURNAL