Tindakan seorang remaja lelaki yang tertimbus di bawah runtuhan bangunan dalam kejadian gempa bumi di Turkiye merakam dan memuat naik video menyelamatkan nyawanya.
Remaja tersebut yang menetap di wilayah Hatay, Turkiye itu membuat keputusan untuk memanfaatkan bateri telefon bimbit yang masih ada untuk merakam pengalamannya dan meluahkan harapan untuk diselamatkan.
Menerusi video yang dirakam, keadaan ketika itu memaparkan remaja berkenaan ketika terperangkap di dalam sebuah ruang kecil, lapor stesen penyiaran ABC News.
Dalam video tersebut, penonton boleh mendengar bunyi suara beberapa mangsa lain yang turut terperangkap memohon pertolongan.
“Saya tidak tahu sama ada saya akan mati atau terselamat. Saya tidak tahu bagaimana untuk meluahkan perasaan ketika terperangkap di bawah runtuhan begini,” katanya dalam video tersebut dengan keadaan muka dan seluruh badannya dipenuhi habuk sisa runtuhan.
Ketika dia cuba mengalihkan rakaman kamera ke arah lain, beberapa sisa runtuhan dilihat jatuh lalu mengenai badannya dan menambahkan lagi habuk berwarna kelabu.
“Terdapat lebih daripada dua, tiga atau empat keluarga (terperangkap) serta jiran-jiran kami. Semoga Tuhan menyelamatkan kami. Saya tidak dapat menjelaskannya, ia bergegar.
“Rakan-rakan semua, kami terperangkap dalam gempa bumi. Ibu! Adakah anda dalam keadaan selamat? Ibu! Katakan anda berada di sesuatu tempat. Tolong bantu kami,” kata remaja berkenaan sebelum memberikan alamat rumahnya.
Tidak lama selepas itu, remaja tersebut memuat naik hantaran di laman Instagram dengan mengatakan bahawa dia telah diselamatkan.
Bagaimanapun, dia berkata, ibunya masih terperangkap di sebalik runtuhan konkrit. – JURNAL