Tahun ini, Putrajaya kembali menjadi lokasi sambutan Hari Kebangsaan untuk segenap lapisan masyarakat dan pemimpin berkumpul untuk meraikannya.
Kali pertama sambutan Hari Kebangsaan diadakan di Putrajaya adalah pada tahun 2003.
Dalam tempoh 20 tahun itu, empat sambutan Hari Kebangsaan telah dianjurkan, iaitu pada 2003, 2005, 2018 dan 2019, dan tahun ini ialah edisi kelimanya.
Persiapan bagi penganjuran Sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Putrajaya pada 31 Ogos ini sedang giat dijalankan bagi memastikan sambutan bertaraf nasional itu meriah, di samping memberi keselesaan kepada pengunjung berskala besar, yang dianggarkan menjangkau 100,000 orang.
Setiausaha Jawatankuasa Kerja Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023 Mazlan Abd Mutalib berkata persiapan bagi menjayakan Sambutan Hari Kebangsaan 2023, yakni kali kelima ia diadakan di Putrajaya, sedang giat diatur pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), swasta dan badan bukan kerajaan.
“Persiapan logistik telah siap kira-kira 45 peratus. Kerja-kerja logistik dijangka siap sepenuhnya pada 22 Ogos ini, iaitu sebelum bermulanya sesi latihan persembahan dan latihan kawad kaki kontinjen,” katanya.
Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2023 pada bulan lepas dilaporkan berkata, sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya pada 31 Ogos ini akan gah seperti tahun-tahun sebelumnya,
“Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini diadakan di Putrajaya. Insya-ALLAH sambutan tahun ini tidak kurang gahnya berbanding tahun-tahun lepas dan sudah pasti menjadi tarikh yang ditunggu-tunggu oleh rakyat,” kata Fahmi.
Signifikannya tahun ini bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan ke-66 itu, Putrajaya yang merupakan pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan kini ditadbir Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tahun ini, ‘Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan’ diangkat sebagai tema HKHM 2023 yang menjadi aspirasi tekad serta komitmen pemimpin bersama rakyat sebagai sebuah negara bangsa yang memiliki semangat perpaduan yang tinggi, bersatu padu serta kehidupan yang aman dan sejahtera. – JURNAL