Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar berkongsi berita duka mengenai kegugurannya di laman sosial Instagram (IG), pada Selasa.
Anak kepada Perdana Menteri Ke-10 itu juga turut memuat naik sekeping foto memaparkan dia dipeluk oleh kedua ibu bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
“Daripada Allah kita datang, kepada-Nya kita kembali.
“Sejak 19 November 2022, mungkin inilah kali pertama kami berpelukan.
“Terlalu banyak yang telah kami lalui bersama… selesai berkempen, sempat pula dijangkiti Covid-19 buat kali kedua, mendapat berita kami mengandung anak keempat.
“Kemudian, sedang sibuk menguruskan tugasan baru, ke sana ke mari, kembali ke Pulau Pinang, kemudian ke Putrajaya. Dikejutkan pula dengan berita pemergian bayi yang dikandung. The little boot is gone,” kongsinya.
Sungguhpun sedih dengan berita berkenaan, Izzah berkata dia reda dengan ketentuan Allah.
“Syukur Alhamdulillah. Saya terfikir tentang semua wanita yang melalui episod serta pengalaman yang sama, walau jalur individunya berbeza.
“Ungkapan mensyukuri nikmat, kata-kata indah untuk Yang Maha Esa, yang kita ucapkan walau mengalir air mata kerana kita hanyalah insan kerdil. Insan yang lemah dengan perasaan, hati, memori dan pengalaman.
“Penyembuhan adalah satu perjalanan… dan jika anda perlu mengambil sedikit masa untuk bernafas pada masa ini, lakukan sahaja.
Sebelum fasa kehidupan seterusnya bermula baru, InsyaAllah,” tulisnya lagi.
Izzah mendirikan rumah tangga kali kedua dengan seorang pengkaji daripada Khazanah Research Institute, Yin Shao Loong, pada 5 Ogos tahun lalu.
Izzah mempunyai sepasang cahaya mata iaitu Raja Nur Safiyah, 15, dan Raja Ahmad Harith, 13, hasil perkahwinan pertamanya, sementara Shao Loong pula mempunyai seorang anak lelaki hasil perkahwinan terdahulu.