Pulau Pinang mengisytiharkan penyakit demam babi Afrika atau African Swine Fever (ASF) di negeri itu sebagai bencana selepas lima lagi ladang ternak babi dijangkiti penyakit itu.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, hingga hari ini, ia menjadikan keseluruhan tujuh ladang ternak babi telah dijangkiti ASF dan membabitkan 25,000 ekor haiwan di semua ladang berkenaan akan dimusnahkan secara berperingkat.
“Kerajaan negeri telah mengisytiharkan kejadian penyakit ASF di Pulau Pinang sebagai bencana setelah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang mengesahkan setakat ini, tujuh ladang babi komersial telah dijangkiti iaitu masing-masing lima di Seberang Perai Selatan (SPS) dan dua di Seberang Perai Tengah (SPT).
“Pengesahan penyakit dibuat melalui ujian Polimerase Chain Reaction (PCR) yang dijalankan oleh Makmal Veterinar Zon Utara Bukit Tengah bermula 4 hingga 12 Januari lepas ke atas sampel babi dari ladang-ladang ternak babi di negeri ini sebelum mendapati tujuh daripadanya dijangkiti ASF,” katanya pada sidang akhbar, Jumaat.
Beliau berkata, sehingga hari ini, sebanyak 929 ekor babi iaitu dari ladang pertama yang dikenal pasti dijangkiti ASF telah dimusnahkan dan pemusnahan akan diteruskan pada hari ini membabitkan ladang kedua iaitu 2,500 ekor babi berikutan terdapat banyak kematian babi di ladang terbabit dan dijangka memakan masa lebih kurang satu minggu untuk diselesaikan.
“Menurut pihak JPV Pulau Pinang, apabila seekor babi dijangkiti ASF, kesemua haiwan yang ada di ladang itu perlu dimusnahkan dan ekoran itu, kerajaan negeri akan menyediakan kawasan tanah berhampiran jalan raya atau lebuh raya di negeri ini untuk menanam bangkai babi yang dimusnahkan kerana kekangan tanah di ladang ternak babi dan saya minta orang ramai tidak panik dengan situasi itu lagipun ASF tidak menjangkiti manusia,” katanya.
Kon Yeow berkata, bagi mengesan jangkitan dan perebakan penyakit ASF di kawasan berhampiran, pihak berkuasa menjalankan aktiviti pemantauan, pemeriksaan klinikal dan persampelan bagi kesemua ladang ternakan babi dalam radius lima kilometer dari ladang yang terlibat.
Katanya, aktiviti pemantauan dan pemeriksaan karkas juga giat dijalankan di semua rumah sembelih babi berlesen di Pulau Pinang dan pihaknya tidak menolak kemungkinan penyakit ASF itu akan terus merebak di ladang lain.
“Pihak polis juga mengadakan sekatan jalan raya (SJR) di jalan-jalan masuk ke kawasan Perkampungan Valdor sejak 10 Jan lepas dan ia dijalankan bagi mengawal pergerakan keluar serta masuk babi hidup dan karkas babi dari kawasan jangkitan seterusnya mengawal penularan penyakit ASF ini ke kawasan lain,” katanya.
Kon Yeow berkata, hingga kini, kaedah pencegahan penyakit ASF yang berkesan dan disarankan ialah melalui amalan biosekuriti ladang yang baik dengan tidak membenarkan lori pengangkut babi dan lori makanan ternakan masuk ke dalam ladang, ladang mempunyai pagar perimeter bagi mencegah kemasukan babi hutan atau haiwan liar ke dalam ladang dan pelbagai lagi.
Beliau juga meminta kerjasama penternak dan orang awam agar segera melaporkan sebarang kematian pada babi hutan, babi kampung atau babi komersial kepada JPV Pulau Pinang menerusi hotline Bilik Pengurusan Krisis Penyakit melalui talian 04-5041047.
Sumber: Sinar Harian